Showing posts with label Tabiat. Show all posts
Showing posts with label Tabiat. Show all posts

18 Tahun Sudah Bersedia!

Pernahkah kita rasa kita sudah sangat bersedia untuk sesuatu tugas, tup tup, bila masa tugas itu perlu disempurnakan, kita menjadi terkapai-kapai? Mesti rasa canggung (janggal) kan? Dan ada kalanya, kita buat persediaan yang ala kadar sahaja, tup tup bila beraksi, wah! Begitu 'awesome' sekali?

Apabila ini berlaku, kita mungkin membuat satu kesimpulan iaitu, tak payah teruk-teruk sangat buat persediaan lah...buat penat je! Kalau tak bersedia pun, boleh beraksi baik jugak....

Perangkap yang berbahaya....

Ini sebenarnya satu mindset yang salah terhadap membuat persediaan yang mencukupi. Kalau nak bincang teori di sebalik fenomena di atas, panjang ceritanya. Boleh lah kita simpulkan dengan berkata : kualiti persediaan dan tahap keyakinan diri serta doa/tawakkal perlu diseimbangkan dalam usaha kita membuat persediaan. Sekiranya salah satu perkara asas ini tertinggal, maka kita mungkin akan berhadapan dengan keadaan yang disebut pada awal nukilan ini.

Persediaan tak mungkin akan sempurna...

Kita juga perlu faham bahawa tidak mungkin kita merancang sebuah perancangan yang sempurna. Kalau hendak ditunggu semua lampu trafik bertukar menjadi hijau baru kita hendak keluar rumah, lebih baik duduk di rumah sahaja! Dan kalau terjadi begitu pun, iaitu semua lampu menjadi hijau, pada masa kita sampai ke lampu trafik itu ia sudah bertukar menjadi merah!

Teringat Al-Qisah...

Semasa menaiki kapalterbang tak berapa lama dulu, penulis teringat sebuah cerita yang pernah dinukilkan dalam sebuah buku motivasi. Dalam kisah tersebut, penulis buku itu menaiki sebuah pesawat yang menghadapi kesulitan dengan beberapa peralatan yang menyebabkan juruterbang terpaksa membuat pendaratan kecemasan di sebuah lapangan terbang. Penulis buku tersebut yang kebetulan dibenarkan berada bersama juruterbang yang sudah 18 tahun berpengalaman, telah menyaksikan sendiri bagaimana juruterbang tersebut mengendalikan keadaan tersebut dengan tenang dan tegas, dan masih mampu tersenyum kepada penulis yang agak panik di dalam kokpit tersebut!

Dipendekkan cerita, akhirnya kapalterbang tersebut berjaya mendarat dan peralatan yang tidak berfungsi dengan baik itu telah dibaiki dan mereka dapat menyambung semula perjalanan mereka dan akhirnya selamat tiba di destinasi sebenar.

Berapa lama bersedia?....

Semasa berjalan keluar daripada pesawat, penulis buku tersebut bertanya kepada juruterbang tersebut tentang prestasinya yang cemerlang dalam mengendalikan keadaan tersebut. "Kemungkinan," katanya kepada juruterbang tersebut, "kalau di tangan orang yang kurang pengalaman, kita belum tahu apa yang akan berlaku tadi!" Juruterbang itu tersenyum dan kemudian berkata dengan serius dan tegas; "Sebenarnya saya bukan bersedia untuk keadaan tersebut hari ini atau setelah ia berlaku,. Saya sudahpun bersedia 18 tahun yang lepas!"

Cabaran atau Peluang, bersedialah seawal mungkin....

Iktibar daripada pengalaman beliau ialah, apabila masalah atau cabaran sudah pun berada di depan mata, itu bukan lagi masa untuk bersedia. Persediaan mestilah dibuat lebih awal, kerana apabila keadaan menjadi mencabar, kita tidak lagi mempunyai ruang untuk mencuba dan mengasah kemahiran kita. Ibarat kata orang tua-tua, "Sediakan payung sebelum hujan!", bukan semasa hujan baru hendak mencari-cari benda untuk dijadikan pelindung.

Pujangga pernah berkata : Aku akan bersedia, dan masa aku akan tiba. Maksudnya, kalau peluang datang menjenguk baru nak bersedia/mengasah bakat/mengembangkan potensi, mungkin peluang akan pergi meninggalkan kita dan mencari orang yang sudahpun bersedia untuk beraksi!

Adakah anda BERANI?

Perasaan takut adalah perasaan yang secara semulajadi berada dalam diri setiap insan. Sebagaimana termaktub di dalam Al-Quran; segala yang dijadikan oleh Allah, pasti ada gunanya dan bukan terjadi dengan sia-sia. Ini mencakupi semua jenis emosi yang dirasai oleh manusia, termasuklah perasaan takut.

Apakah Peranan Emosi?

Cara yang mudah untuk memahami peranan emosi ialah dengan menganggapnya sebagai isyarat-isyarat yang membantu kita bertindak. Oleh itu kita perlu berusaha untuk memahami apakah isyarat yang cuba disampaikan kepada kita. Jika kita berasa takut, ini biasanya bermakna kita belum bersedia 100% atau kita masih berasa ragu-ragu dengan apa yang perlu kita hadapi. Maka, kita memanfaatkan emosi takut dengan cara menambahkan persediaan diri sama ada dengan cara belajar atau mencari pengalaman sehingga meminimakah perasaan takut (tidak mungkin akan hilang sepenuhnya). Contoh, kita takut berucap di khalayak ramai. Ini bermakna sama ada kita belum betul-betul memahami topik yang akan kita kongsi dalam ucapan kita, atau kita belum memahirkan diri dengan teknik-teknik berucap. Maka kita harus mendalami topik ucapan atau menambahkan pengetahuan tentang kemahiran berucap.

Bertindak di Sebalik Perasaan Takut

Justeru, sebagai 'pemimpin' bagi diri sendiri, keluarga, pasukan dan masyarakat, kita perlu memahami perasaan takut serta belajar menanganinya dengan baik dan berhemah. Khususnya apabila tindakan dan perlakuan kita menjadi contoh dan teladan kepada orang lain. Pemimpin yang berjaya sebenarnya bukanlah pemimpin yang tidak mempunyai perasaan takut, tetapi seorang pemimpin yang mempunyai keinginan tinggi untuk melakukan kebaikan, sama ada untuk diri, keluarga dan masyarakat, sehingga menenggelamkan perasaan takut dalam dirinya. Dalam ertikata lain, bukannya mereka tidak berasa takut, tetapi bertindak di sebalik perasaan takut.

Bukan Pula Membuta Tuli

Berani juga bukan bermaksud kita bertindak semberono atau membuta tuli. Namun, berani bermaksud kesanggupan untuk merancang strategi, walaupun kita tahu perancangan kita tidak sempurna, serta kecekalan kita berpegang kepada strategi yang telah disusun, selagi mana kita yakin ianya tepat, dan tidak menghiraukan kritikan, ejekan dan cemuhan mereka yang tidak ingin melihat kita maju serta meninggalkan mereka jauh di belakang....

Jadi, adakah anda berani?

Wah! Jelesnya...!

Itulah antara perasaan dan ungkapan yang biasa kita jumpa apabila terbaca atau terdengar mengenai kejayaan seseorang dalam apa-apa bidang atau usaha. Jarang pula kita menelaah dan mengkaji apa rahsia mereka yang membolehkan mereka mengecapi kejayaan itu. Lebih menyedihkan, ada pula antara kita yang meremehkan pencapaian itu dengan mengatakan "Biasalah, dia ada bakat!" Malah ini boleh dikatakan menjadi kesimpulan spontan yang biasa kita rumuskan apabila kita mendengar tentang kejayaan-kejayaan orang.

Suatu Ketidakadilan?

Apakah mungkin kita sebenarnya melakukan suatu ketidakadilan apabila seolah menafikan usaha, kerajinan, ketekunan dan keazaman kental yang perlu dimiliki oleh seseorang yang berjaya? Seorang pemain biola terkemuka di dunia pernah merungut apabila kemahirannya dikaitkan dengan 'bakat' dengan berkata : "Aku berhempas pulas berlatih dan mencari pengalaman selama 22 tahun tanpa menyerah kalah, dan sekarang mereka mengatakan ia hanya bakat (anugerah/ gift)!"

Cuba kita bayangkan kalau kita terpaksa bekerja keras untuk menyiapkan satu kerja penting, sehingga tidak tidur dan kurang makan, mengorbankan masa dengan keluarga, melalui tekanan perasaan yang hebat, lalu akhirnya hasil tersebut menjadi baik, tiba-tiba ada orang berkata: "Senanglah bagi dia, dia ada bakat!" Seolah-olah kejayaan itu dapat dihasilkan sebegitu baik dengan sebelah mata. Tak rasa sakit hati?

Habis di mana peranan BAKAT?

Tak dapat dinafikan, bakat ada sumbangan dan peranannya dalam kejayaan kita. Tetapi ia bukan satu-satunya penentu. Bakat hanyalah salah satu ramuan dalam resepi kejayaan. Ia tetap memerlukan ramuan-ramuan lain yang kadang-kadang sama penting malah lebih penting daripada bakat itu sendiri. (Buku 'Talent is Never Enough' karya J.C. Maxwell menyenaraikan lebih 10 perkara yang tidak kurang penting daripada bakat, termasuklah keberanian, kesanggupan kita berlatih dan juga passion atau keghairahan kita menyerlahkan bakat kita.) Pernahkah kita terfikir bahawa jika bakat sahaja memadai, mengapa pemain bola sepak berkemahiran tinggi seperti Ronaldo tetap disyaratkan menghadiri sesi latihan tanpa dikecualikan? Malah beliau dianggap memecah kontrak jika dengan sengaja tidak hadir?

Memahami 'advantage' BAKAT

Salah satu cara memahami bakat ialah menggunakan skala 1 hingga 10. Dengan adanya bakat, bermakna anda mungkin bermula pada skala 3 atau 4. Atau jika anda mempunyai bakat luar biasa, mungkin anda bermula pada tahap skala 5. Sedangkan orang lain mungkin bermula pada skala 1 atau 2. Jika anda dan orang tersebut melalui sesi latihan yang sama dari semua segi, pasti anda akan mendahului dan kelihatan lebih 'berbakat' berbanding orang lain, dan ini pasti terzahir melalui hasil dan pencapaian anda yang lebih hebat.

Namun apa jadi jika orang lain berusaha dengan jauh lebih gigih?

Apa kata orang tersebut berlatih 4-5 jam sehari berbanding anda yang hanya berlatih 1-2 jam? Anda akan mendapati bahawa jurang perbezaan dari segi kecekapan tidak lagi begitu ketara. Walaupun mungkin dari satu segi anda lebih beruntung kerana tidak perlu terlalu bersusah payah untuk menghasilkan natijah yang sama baik dengan orang yang berlatih jauh lebih kuat dan gigih berbanding anda. Namun hakikatnya ialah, berhadapan dengan kegigihan yang menggunung, bakat tidak lagi sepenting mana yang disangka!

Namun di sinilah 'titik kelemahan' atau Achilles Heel yang banyak menggagalkan orang yang memiliki bakat tinggi. Apabila kita berasa cukup bagus dengan kemahiran yang ada, apabila kejayaan datang dengan mudah tanpa perlu bermandikan peluh, apabila kita meyakini bahawa cukup sekadar kita menggantung harapan kepada bakat semata-mata tanpa menghiraukan ramuan-ramuan kejayaan yang lain, maka sebenarnya kita sudah tertipu. Malah ada kalanya kejayaan yang dikecapi itulah yang menanam bibit kejatuhan yang akhirnya menyebabkan kita tersungkur dalam arena kehidupan.

Ramai orang berbakat yang gagal

Di negara kita Malaysia, kita pernah mendengar tentang beberapa kanak-kanak pintar (prodigy) yang mampu membaca pada usia sangat muda. Mungkin berpunca daripada faktor ibubapa yang hanya mementingkan perbuatan mencanang kemampuan anak, berbanding memahami tanggungjawab besar yang mengiringi anugerah sebegitu, akhirnya anak-anak tersebut tidak ke mana dari segi kejayaan yang dicapai.

BAKAT vs Kemahiran

Cara berfikir yang lebih selamat dan praktikal ialah melihat semua kebolehan sebagai satu kemahiran yang boleh dikuasai dengan cara berusaha secara tekun dan gigih. Dalam tulisan beliau 'Everyone can do a handstand.' Peter Bregman menegaskan bahawa hampir kesemua kemahiran yang diperlukan untuk berjaya dalam kehidupan boleh dikuasai jika kita sanggup meluangkan masa dan tenaga untuk berlatih, sebagaimana semua orang sebenarnya boleh belajar berdiri atas tangan! Persoalannya bukanlah mustahil atau tidak, tetapi adakah kita sanggup melalui prosesnya dan membayar 'harga'nya?

BAKAT sebenarnya lebih kepada ALASAN

Jelasnya, bagi kebanyakan kita, bakat hanyalah satu alasan untuk tidak melakukan satu perkara yang betul, atau mengelakkan diri daripada bersusah payah mengasah potensi yang ada. "Saya tiada bakat belajar.", "Saya tiada bakat bercakap.", "Saya tiada bakat berniaga.", adalah antara reaksi yang menjadikan bakat sebagai alasan untuk tidak bersugguh-sungguh dalam berusaha.

Habis, apa pula cerita insan-insan istimewa yang kadang kala tidak cukup kaki dan tangan; ada yang tidak berpelajaran; ada yang buta huruf, tetapi mampu melakar kejayaan-kejayaan hebat yang sangat memberi inspirasi? Adakah mereka juga berjaya semata-mata kerana bakat?

Bagi mereka yang juga sibuk menyalahkan ketiadaan bakat sebagai punca mereka tidak berjaya, jawapannya senang saja..."Itulah, rezeki mereka nak berjaya...!"

Aduh...! Rezeki pulak...! Ada-ada saja!


Tabiat : Teropong Masa Depan?

Jika anda ingin tahu di mana anda akan berada dari segi kejayaan selepas 5 tahun akan datang, anda mungkin mendapat gambaran yang agak tepat dengan melihat tabiat-tabiat anda pada hari ini...

Lampu paling dibenci pemandu...
Ya, mungkin satu statement  yang agak bold, tetapi ada kebenarannya. Sememangnya, tabiat adalah satu 'force' atau kuasa yang memainkan peranan cukup besar dalam menentukan kejayaan dan kegagalan kita. Secara mudah, kita boleh ertikan bahawa tabiat itu ialah perbuatan-perbuatan yang kita lakukan tanpa perlu berfikir panjang (dan kebiasaannya kita tidak akan berfikir panjang!) Antaranya, kalau marah, kita maki hamun, kalau bawa kereta, kita tak bagi 'can' atau peluang kepada kereta lain memasuki jalan kita walaupun pemandu tersebut memberi 'signal'...kalau memandu kereta di persimpangan yang mempunyai lampu isyarat, lampu kuning maksudnya 'Tekan minyak lagi!' ataupun 'Sempat lagi ni!'...kalau dengar ceramah, mata perlu disendal dengan batang mancis baru kekal terbuka, kalau tak rasa nak terlelap saja...

Bagaimanakah tabiat itu terbina? Melalui perlakuan yang konsisten...Sebab itu kebanyakan tabiat adalah bersifat buruk...pernah mendengar ungkapan 'buang tabiat' bukan? Adakah bila kita menggunakan ungkapan itu, kita maksudkan satu tabiat yang baik? Sudah tentu tidak! Kita pastinya menggunakan ungkapan 'buang tabiat' untuk merujuk kepada usaha membasmi tabiat yang buruk (ini juga satu tabiat, kan?)...

Maka, ini membuatkan kita berfikir, mengapa tabiat itu dikaitkan dengan amalan yang buruk sahaja? Mudah, kerana seperti yang kita nyatakan, tabiat terbentuk apabila sesuatu perbuatan berlaku secara konsisten untuk satu jangka masa tertentu...Ok, so far so good! Kita panjangkan perbincangan ini lagi : apakah jenis-jenis amalan yang kebiasaannya dapat kita lakukan secara konsisten? Sudah tentu perkara-perkara yang mudah bagi kita bukan? Malah yang menyeronokkan dan memuaskan hati!

Justeru, disebabkan inilah sebahagian besar tabiat manusia merupakan perkara yang negatif, kerana lazimnya perkara negatiflah yang :
  1. menyeronokkan / mengasyikkan (contohnya; merokok, menonton tv, memfitnah, bergossip, tuang kerja, bermain permainan video, facebook dll),
  2. mudah bagi kita (contohnya; buat kerja secara sambil lewa, memilih kerja yang tak perlu menggunakan minda, lebih suka menonton daripada membaca, menyerahkan masalah kepada orang lain untuk diselesaikan dengan alasan gajinya lebih besar!)
  3. memuaskan hati (contohnya; panas baran, mengutuk orang, kurang bersifat sabar dan lain-lain)
Oleh kerana mudahnya bagi kita melakukan perbuatan negatif ini, ia merupakan pilihan pertama kita bila kita berada dalam situasi berkenaan. Dan apabila setiap kali kita melakukan perkara yang sama (secara konsisten) maka jadilah ia tabiat bagi kita, dan reaksi spontan dan utama kita apabila kita berhadapan dengan keadaan seumpamanya.

Oleh itu, kita perlu bermuhasabah sama ada apa yang kita lakukan seharian itu lahir daripada tindakan yang sudah dipertimbangkan, suatu kewajaran untuk kita sebagai makhluk yang dikurniakan akal, atau semata-mata tabiat yang automatik dan tidak kita sedari....