Showing posts with label Kejayaan. Show all posts
Showing posts with label Kejayaan. Show all posts

Bacalah!...

"Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang mencipta..."

Rata-rata umat Islam tahu bahawa ayat yang pertama sekali diwahyukan kepada junjungan besar Rasulullah S.A.W ialah surah 'Iqra'', yang boleh diterjemahkan sebagai "Bacalah!".

Kenapa ayat ini masih relevan hingga ke hari ini?

Selain daripada hakikat bahawa membaca itu merujuk kepada kemuliaan menuntut ilmu, terdapat beberapa faedah penting yang perlu kita amati dan hargai daripada perbuatan membaca itu sendiri serta memperluaskan bahaan bacaan kita.

Jawapan kepada masalah-masalah yang kita hadapi

Pertamanya, boleh dikatakan semua masalah yang mungkin kita hadapi atau akan hadapi, sebenarnya sudahpun dihadapi oleh orang lain. Sama ada masalah kewangan, keluarga, anak-anak, kerjaya, motivasi diri, mengasah bakat dan kemahiran dan banyak lagi. Dan jawapan kepada masalah tersebut secara asasnya sudah pun terjawab melalui penulisan dan perkongsian mereka yang berjaya mengatasinya dalam buku-buku yang telah mereka karang. Jadi, kalau kita serius untuk mendapat idea bagi merungkaikan simpulan masalah yang kita hadapi, kenalah rajin-rajin menelaah ya!

Shortcut yang mempermudahkan dan tidak membawa kepada masalah yang lebih besar

Kedua, buku merupakan shortcut versi halal yang wajar kita gunakan sepenuhnya, berbeza dengan skim-skim cepat kaya yang memperdaya, rasuah, memanipulasi orang dan jenis-jenis shortcut lain yang lebih kerap membawa kepada keburukan berbanding kebaikan. Ini kerana perkongsian pengalaman mereka yang sudah berjaya memberi kita jalan pintas dalam bentuk panduan, cadangan dan kupasan yang boleh kita amalkan sekaligus mengurangkan proses trial and error yang terpaksa mereka lalui! Ada antara pengajaran yang dimuatkan dalam karya-karya adalah hasil daripada pengalaman penulis yang menjangkau puluhan tahun. Dan kini kita dapat menfaatkannya hanya dengan meluangkan masa untuk membaca dan memahaminya! Tapi ingat, pengetahuan ini tidak mungkin menggantikan pengalaman; kita mesti berani mengamalkan maklumat yang diperolehi dan menyesuaikannya dengan keadaan diri kita. Kita perlulah mengambil tindakan atas ilmu yang dikongsi. Apabila ini berlaku, informasi akan menyemberangi jambatan realiti dan berubah menjadi ilmu. Gabungan teori, tindakan dan pengalaman inilah membawa kepada kejayaan kita, insya Allah!

Memberi inspirasi dan semangat

Ketiga, pengalaman, kecekalan, ketabahan dan kegetiran yang dilalui oleh mereka yang berjaya dapat memberi inspirasi kepada kita untuk mencontohi kehebatan mereka. Pernahkah anda membaca sesuatu ungkapan, petikan, seruan, atau bingkisan yang membuat anda berkobar-kobar untuk melakukan sesuatu? Inilah suntikan semangat yang dimaksudkan. Ia mengisi jiwa kita dengan harapan dan keyakinan bahawa jika mereka boleh melakukannya, maka sudah tentu kita juga mampu berjaya.

Jadi, tiada alasan untuk kita untuk tidak mengejar kecemerlangan....Bak kata pujangga : Why wait for opportunity to knock when we have all the tools we need to go after it? Kehidupan ini bukan lagi boleh diertikan sebagai perjalanan santai tanpa destinasi, tetapi sesuatu perlumbaan yang kita mungkin sudahpun bermula dengan lewat!

Adakah anda BERANI?

Perasaan takut adalah perasaan yang secara semulajadi berada dalam diri setiap insan. Sebagaimana termaktub di dalam Al-Quran; segala yang dijadikan oleh Allah, pasti ada gunanya dan bukan terjadi dengan sia-sia. Ini mencakupi semua jenis emosi yang dirasai oleh manusia, termasuklah perasaan takut.

Apakah Peranan Emosi?

Cara yang mudah untuk memahami peranan emosi ialah dengan menganggapnya sebagai isyarat-isyarat yang membantu kita bertindak. Oleh itu kita perlu berusaha untuk memahami apakah isyarat yang cuba disampaikan kepada kita. Jika kita berasa takut, ini biasanya bermakna kita belum bersedia 100% atau kita masih berasa ragu-ragu dengan apa yang perlu kita hadapi. Maka, kita memanfaatkan emosi takut dengan cara menambahkan persediaan diri sama ada dengan cara belajar atau mencari pengalaman sehingga meminimakah perasaan takut (tidak mungkin akan hilang sepenuhnya). Contoh, kita takut berucap di khalayak ramai. Ini bermakna sama ada kita belum betul-betul memahami topik yang akan kita kongsi dalam ucapan kita, atau kita belum memahirkan diri dengan teknik-teknik berucap. Maka kita harus mendalami topik ucapan atau menambahkan pengetahuan tentang kemahiran berucap.

Bertindak di Sebalik Perasaan Takut

Justeru, sebagai 'pemimpin' bagi diri sendiri, keluarga, pasukan dan masyarakat, kita perlu memahami perasaan takut serta belajar menanganinya dengan baik dan berhemah. Khususnya apabila tindakan dan perlakuan kita menjadi contoh dan teladan kepada orang lain. Pemimpin yang berjaya sebenarnya bukanlah pemimpin yang tidak mempunyai perasaan takut, tetapi seorang pemimpin yang mempunyai keinginan tinggi untuk melakukan kebaikan, sama ada untuk diri, keluarga dan masyarakat, sehingga menenggelamkan perasaan takut dalam dirinya. Dalam ertikata lain, bukannya mereka tidak berasa takut, tetapi bertindak di sebalik perasaan takut.

Bukan Pula Membuta Tuli

Berani juga bukan bermaksud kita bertindak semberono atau membuta tuli. Namun, berani bermaksud kesanggupan untuk merancang strategi, walaupun kita tahu perancangan kita tidak sempurna, serta kecekalan kita berpegang kepada strategi yang telah disusun, selagi mana kita yakin ianya tepat, dan tidak menghiraukan kritikan, ejekan dan cemuhan mereka yang tidak ingin melihat kita maju serta meninggalkan mereka jauh di belakang....

Jadi, adakah anda berani?

Wah! Jelesnya...!

Itulah antara perasaan dan ungkapan yang biasa kita jumpa apabila terbaca atau terdengar mengenai kejayaan seseorang dalam apa-apa bidang atau usaha. Jarang pula kita menelaah dan mengkaji apa rahsia mereka yang membolehkan mereka mengecapi kejayaan itu. Lebih menyedihkan, ada pula antara kita yang meremehkan pencapaian itu dengan mengatakan "Biasalah, dia ada bakat!" Malah ini boleh dikatakan menjadi kesimpulan spontan yang biasa kita rumuskan apabila kita mendengar tentang kejayaan-kejayaan orang.

Suatu Ketidakadilan?

Apakah mungkin kita sebenarnya melakukan suatu ketidakadilan apabila seolah menafikan usaha, kerajinan, ketekunan dan keazaman kental yang perlu dimiliki oleh seseorang yang berjaya? Seorang pemain biola terkemuka di dunia pernah merungut apabila kemahirannya dikaitkan dengan 'bakat' dengan berkata : "Aku berhempas pulas berlatih dan mencari pengalaman selama 22 tahun tanpa menyerah kalah, dan sekarang mereka mengatakan ia hanya bakat (anugerah/ gift)!"

Cuba kita bayangkan kalau kita terpaksa bekerja keras untuk menyiapkan satu kerja penting, sehingga tidak tidur dan kurang makan, mengorbankan masa dengan keluarga, melalui tekanan perasaan yang hebat, lalu akhirnya hasil tersebut menjadi baik, tiba-tiba ada orang berkata: "Senanglah bagi dia, dia ada bakat!" Seolah-olah kejayaan itu dapat dihasilkan sebegitu baik dengan sebelah mata. Tak rasa sakit hati?

Habis di mana peranan BAKAT?

Tak dapat dinafikan, bakat ada sumbangan dan peranannya dalam kejayaan kita. Tetapi ia bukan satu-satunya penentu. Bakat hanyalah salah satu ramuan dalam resepi kejayaan. Ia tetap memerlukan ramuan-ramuan lain yang kadang-kadang sama penting malah lebih penting daripada bakat itu sendiri. (Buku 'Talent is Never Enough' karya J.C. Maxwell menyenaraikan lebih 10 perkara yang tidak kurang penting daripada bakat, termasuklah keberanian, kesanggupan kita berlatih dan juga passion atau keghairahan kita menyerlahkan bakat kita.) Pernahkah kita terfikir bahawa jika bakat sahaja memadai, mengapa pemain bola sepak berkemahiran tinggi seperti Ronaldo tetap disyaratkan menghadiri sesi latihan tanpa dikecualikan? Malah beliau dianggap memecah kontrak jika dengan sengaja tidak hadir?

Memahami 'advantage' BAKAT

Salah satu cara memahami bakat ialah menggunakan skala 1 hingga 10. Dengan adanya bakat, bermakna anda mungkin bermula pada skala 3 atau 4. Atau jika anda mempunyai bakat luar biasa, mungkin anda bermula pada tahap skala 5. Sedangkan orang lain mungkin bermula pada skala 1 atau 2. Jika anda dan orang tersebut melalui sesi latihan yang sama dari semua segi, pasti anda akan mendahului dan kelihatan lebih 'berbakat' berbanding orang lain, dan ini pasti terzahir melalui hasil dan pencapaian anda yang lebih hebat.

Namun apa jadi jika orang lain berusaha dengan jauh lebih gigih?

Apa kata orang tersebut berlatih 4-5 jam sehari berbanding anda yang hanya berlatih 1-2 jam? Anda akan mendapati bahawa jurang perbezaan dari segi kecekapan tidak lagi begitu ketara. Walaupun mungkin dari satu segi anda lebih beruntung kerana tidak perlu terlalu bersusah payah untuk menghasilkan natijah yang sama baik dengan orang yang berlatih jauh lebih kuat dan gigih berbanding anda. Namun hakikatnya ialah, berhadapan dengan kegigihan yang menggunung, bakat tidak lagi sepenting mana yang disangka!

Namun di sinilah 'titik kelemahan' atau Achilles Heel yang banyak menggagalkan orang yang memiliki bakat tinggi. Apabila kita berasa cukup bagus dengan kemahiran yang ada, apabila kejayaan datang dengan mudah tanpa perlu bermandikan peluh, apabila kita meyakini bahawa cukup sekadar kita menggantung harapan kepada bakat semata-mata tanpa menghiraukan ramuan-ramuan kejayaan yang lain, maka sebenarnya kita sudah tertipu. Malah ada kalanya kejayaan yang dikecapi itulah yang menanam bibit kejatuhan yang akhirnya menyebabkan kita tersungkur dalam arena kehidupan.

Ramai orang berbakat yang gagal

Di negara kita Malaysia, kita pernah mendengar tentang beberapa kanak-kanak pintar (prodigy) yang mampu membaca pada usia sangat muda. Mungkin berpunca daripada faktor ibubapa yang hanya mementingkan perbuatan mencanang kemampuan anak, berbanding memahami tanggungjawab besar yang mengiringi anugerah sebegitu, akhirnya anak-anak tersebut tidak ke mana dari segi kejayaan yang dicapai.

BAKAT vs Kemahiran

Cara berfikir yang lebih selamat dan praktikal ialah melihat semua kebolehan sebagai satu kemahiran yang boleh dikuasai dengan cara berusaha secara tekun dan gigih. Dalam tulisan beliau 'Everyone can do a handstand.' Peter Bregman menegaskan bahawa hampir kesemua kemahiran yang diperlukan untuk berjaya dalam kehidupan boleh dikuasai jika kita sanggup meluangkan masa dan tenaga untuk berlatih, sebagaimana semua orang sebenarnya boleh belajar berdiri atas tangan! Persoalannya bukanlah mustahil atau tidak, tetapi adakah kita sanggup melalui prosesnya dan membayar 'harga'nya?

BAKAT sebenarnya lebih kepada ALASAN

Jelasnya, bagi kebanyakan kita, bakat hanyalah satu alasan untuk tidak melakukan satu perkara yang betul, atau mengelakkan diri daripada bersusah payah mengasah potensi yang ada. "Saya tiada bakat belajar.", "Saya tiada bakat bercakap.", "Saya tiada bakat berniaga.", adalah antara reaksi yang menjadikan bakat sebagai alasan untuk tidak bersugguh-sungguh dalam berusaha.

Habis, apa pula cerita insan-insan istimewa yang kadang kala tidak cukup kaki dan tangan; ada yang tidak berpelajaran; ada yang buta huruf, tetapi mampu melakar kejayaan-kejayaan hebat yang sangat memberi inspirasi? Adakah mereka juga berjaya semata-mata kerana bakat?

Bagi mereka yang juga sibuk menyalahkan ketiadaan bakat sebagai punca mereka tidak berjaya, jawapannya senang saja..."Itulah, rezeki mereka nak berjaya...!"

Aduh...! Rezeki pulak...! Ada-ada saja!


Tak Guna Punya Idea!...

Assalamualaikum wrt wbt,

Saya pernah terbaca sebuah artikel menarik bahawa kejayaan adalah 10% inspiration and 90% perspiration...Diterjemah dengan ringkas, bermaksud kejayaan itu adalah 10% inspirasi yakni idea yang kita fikirkan dan 90% lagi adalah daripada memerah keringat, yakni usaha untuk menjalankan dan menjayakan idea tersebut. Satu pandangan yang cukup tajam dan membelah isu kelemahan umat Melayu Muslim di negara kita pada hari ini.

Dah ada idea, now what?

Dalam semua segi, yang penting sebenarnya ialah perlaksanaan...kita mungkin mempunyai idea yang terbaik (tetapi kalau tiada idea pun, dan jika keadaan terdesak, kadangkala kita terpaksa membeli idea ini daripada pihak lain dengan harga yang mahal), namun idea tersebut hanyalah suatu impian selagi mana kita gagal mengenalpasti bagaimana kita dapat merealisasikan idea tersebut. Malah lebih penting ialah menterjemahkan strategi tersebut ke dalam bentuk amalan harian ke arah mencapai matlamat yang diingini.

Tiada idea, atau tiada jalan?

Sebenarnya masyarakat Melayu Muslim tidak tandus idea dan inspirasi. Ini terbukti melalui anugerah dan pingat yang dimenangi oleh warga saintis negara di persada antarabangsa melalui ciptaan dan rekaan inovatif. (Dari segi yang lebih negatif, orang kita juga panjang akal dalam melakukan jenayah ekonomi sehingga ke peringkat antarabangsa!)

Namun kita tewas dari segi inisiatif, kecekalan, ketabahan dan ketahanan mental, ketelusan malah kadangkala political will atau keazaman politik yang diperlukan untuk menterjemahkan idea tersebut ke dalam bentuk amalan atau realiti yang boleh dimanfaatkan oleh segenap lapisan masyarakat.

A Million Dollar Idea, tapi habuk pun takdak...

Justeru kita melihat berbagai idea yang baik seperti sekolah bestari, kempen komputer di rumah, bantuan kepada pelajar bumiputera dan berbagai lagi inovasi idea kemasyarakatan yang akhirnya menjadi sia-sia, tidak mencapai potensi sepenuhnya malah melahirkan 'gajah putih' yang merugikan dana negara. (Hmmm...tapi ini bukan blog politik ya...:-)

Dalam lingkungan yang lebih kecil, kita dapati organisasi dan syarikat perniagaan juga kadangkala menghasilkan idea yang baik melalui sesi-sesi brainstorming berbagai hala, namun akhirnya terkandas jua disebabkan kita terlupa atau mengabaikan intipati kenyataan tadi...iaitu success is 10% inspiration and 90% perspiration...Mungkin juga kerana satu kelemahan orang Melayu ialah kita lebih suka menjadi watak CEO yang memberi idea dan mengharapkan orang lain yang menjayakannya...Seolah-olah mesej kita ialah : "Eh! Saya dah susah-susah fikirkan, kamulah pula yang jalankan!"....

Go For GOLD!

Maka, jangan kita terpesona dengan 10% yang sudah berada dalam tangan, tapi jomlah kita menyingsingkan tangan dan memerah otak dan keringat untuk yang 90% lagi, kerana di situlah penentu sama ada idea kita berhasil, atau sama tahap dengan angan-angan Mat Jenin sahaja. Mudah-mudahan Allah memberkati usaha kita...!