Memang Hebat!

Cuba fikir-fikirkan....

Kenapa kita syok tengok sukan? Rasanya jutaan, bahkan berbillion ringgit dibelanjakan di seluruh dunia untuk membolehkan manusia menonton sukan kegemaran masing-masing...sama ada di stadium atau di kaca tv atau di internet...kadang-kadang radio pun takpa, jadilah asal boleh dengar. Dan sukan pula bermacam-macam jenis, ada bolasepak, bola keranjang, tenis, olahraga....semua ada peminat masing-masing...

Kenapa ya? Apa yang mengasyikkan tentang sukan ni? Apa yang mendorong berbillion manusia seperti kita untuk memusatkan minda dan emosi, menghabiskan masa dan wang, untuk melihat beberapa individu berlari, menyepak, melontar, menumbuk, memukul...kadang-kadang bergaduh pun ada....di tengah-tengah padang? Minat kepada mereka? Minat kepada kebolehan mereka? Minat kepada kesungguhan mereka?

Apakah yang ada pada aksi mereka yang membuat kita terpaku dan terpesona? Pernah tengok orang nak suap nasi ke mulut pun ‘frozen’ dengan sudu hanya beberapa inci dari mulut yang ternganga? Ke kita tak perasan sebab kita pun ternganga juga?!

Tak dapat dinafikan...

Bahawa ada ‘keindahan’ yang tersirat disebalik aksi bertungkus-lumus yang berlaku di tengah padang. Dan jiwa kita sangat-sangat tersentuh dengan ‘keindahan-keindahan’ itu. Malah jiwa kita sangat memerlukannya! Antaranya :

1. Kita sukakan aksi. Dunia terpesona dengan mereka yang mampu beraksi. Dan aksi memerlukan tindakan. Semua tulang, urat dan otot yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita ialah supaya kita bertindak, bergerak, berusaha, bekerja. Untuk mencipta sesuatu yang istimewa. Tidak ada apa yang boleh berlaku tanpa tindakan. Hanya tindakan yang akan membuahkan hasil. Hanya tindakan yang akan melahirkan sesuatu yang hebat! Begitulah juga dalam dunia pekerjaan, pendidikan dan apa saja bidang lain yang kita adalah ‘pemain’ di dalamnya. Kalau tiada tindakan, tak ada apalah yang akan terjadi. Oleh itu sentiasa fokus minda kita kepada tindakan yang perlu kita buat untuk menghasilkan kejayaan, bukan hanya berfikir dan merancang semata-mata. Only action creates results! Maka bertindaklah!

2. Kita sukakan kecemerlangan. Agaknya kalau kita diajak menonton perlawanan bolasepak antara guru-guru sekolah peringkat daerah secara percuma kita ikut tak? Maaf, bukan tujuan menghina ya... :-)Mungkin ikut juga lah kalau bakal ayah mertua kita yang bermain, siap sorak sambil hilang suara lagi.... Apa pun, itu hanya sebagai contoh. Hakikatnya, manusia dahagakan kecemerlangan. Manusia dahagakan kehebatan. Manusia inginkan kesempurnaan. Dan kita terpesona dengannya. Malah ia mampu mencetus satu semangat yang kuat dalam diri kita. Betapa banyak ‘coach’ bidang terjun yang akan menjerit kepada layar tv atau projektor semasa menonton beramai-ramai. Entah apa kelulusan pun tak tau. Dan kecemerlangan itu juga membuat kita terikut-ikut. Berapa banyak kasut bola yang laku semasa Piala Dunia berlangsung setiap empat tahun..:-) Tak apa...majulah sukan (dan ekonomi) untuk Negara! Apapun, pastikan kehidupan kerja dan harian anda juga dihiasi dengan detik—detik kecemerlangan. Elakkan mentaliti ala kadar dan elakkan aksi yang ‘hambar’. Go for gold!

3. Kita sukakan pertandingan dan peraduan. Ya, pertandingan sebenarnya membangkitkan semangat dalam diri kita, menjadi kita lebih berkobar-kobar, lebih berdebar-debar dan lebih peka. Pertandingan mendorong kita untuk mencurahkan segala kemampuan dan berusaha untuk melakukan yang terbaik. Malah kajian menunjukkan bahawa banyak rekod peribadi yang dipecahkan dalam pertandingan. Apabila kita bertanding, kita menjadi lebih ‘hidup’! Kalau satu pasukan sahaja yang beraksi di padang dan berjaya menjaringkan ribuan gol sekalipun, kita tidak akan teruja! Begitu juga dalam kehidupan seharian kita. ‘Bertanding’ lah secara sihat dengan rakan, ahli keluarga kita. Paling tidak - malah ada kalanya lebih baik-ialah kita bertanding dengan diri sendiri. Cuba cabar diri sendiri untuk melakukan yang lebih baik. Cuba pecahkan rekod sendiri. Itulah sebenarnya naluri kita. 

4. Dan sudah tentu, kita sukakan kemenangan. Ia umpama ‘dadah’yang membuatkan kita mahukannya lagi, berulang-ulang kali. Walaupun dalam hal ini, yang menang bukan kita, tetapi pasukan atau individu pilihan kita. Kalau tewas, kita inginkan pertandingan itu diulang serta-merta! Jauh beza antara menonton pasukan yang hanya ‘bermain’ dengan pasukan yang bermain untuk menang. Walaupun kita sering mengatakan bahawa kemenangan bukan segala-galanya, tetapi itu bukanlah semangat yang kita ingin menjadi ‘mindset’ pemain-pemain kita! Maksud sebenar ungkapan tersebut ialah berusaha dengan bersungguh-sungguh menggunakan segala kemahiran yang ada untuk menang, tetapi jangan jadikan kemenangan alasan untuk menggunakan taktik-taktik kotor atau mengamalkan konsep ‘matlamat menghalalkan cara’, atau menanam sikap permusuhan, kebencian dan dendam apabila tewas. Maka di sinilah baru kita guna pakai ungkapan ‘kemenangan bukan segala-galanya’. Barulah tepat...

Itulah antara faktor-faktor yang menjadikan kita ‘ketagih’dengan aksi sukan. Kerana faktor-faktor tersebut sememangnya ada dalam diri kita, ibarat potensi yang terpendam dan akan tersentuh setiap kali kita melihatnya, walaupun dijelmakan dalam aksi orang lain!

Wallahua’lam

2 comments:

Kelly said...

Kenapa saya syok tengok rancangan makanan:
1. Aksi chef (mulut lancang tak dikira aksi) hehe
2. Sukakan makanan
3. Sukakan cara plating makanan
4. Suka makan.
Sekian :D

Luqman said...

Saya pun suka tengok juga...until I saw Masterchef Malaysia...terus hilang minat :-S