"MASALAH pendarahan rektum adalah biasa berlaku pada golongan wanita hamil dan tidak akan membahayakan nyawa ibu mahupun bayi dalam kandungan. "Wanita hamil tidak perlu risau akan masalah ini kerana keberangkalian mendapat masalah lain adalah rendah, namun pemeriksaan haruslah dilakukan untuk mengenal pasti masalah sebenar," katanya. Dr. Seenivasagam berkata, petanda bagi pendarahan rektum adalah apabila titisan darah muncul ketika membuang air besar. "Pendarahan rektum mempunyai beberapa kemungkinan iaitu berpunca daripada buasir ataupun sembelit," katanya lagi. Kemungkinan untuk mendapat buasir adalah tinggi dalam situasi sedang hamil kerana pembesaran saiz janin di dalam kandungan menyebabkan tekanan pada saluran darah.
Sembelit berlaku apabila kekurangan pengambilan air dan nutrien serat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan yang menyebabkan kesukaran membuang air besar. Najis yang keras dan terlalu meneran sewaktu membuang air besar mengakibatkan luka pada bahagian kulit dubur dan menyebabkan pendarahan berlaku. Luka atau rekahan yang terjadi akan menyebabkan kesakitan dan pendarahan sewaktu membuang air besar jika dibandingkan dengan buasir. "Pendarahan rektum akibat luka dan sembelit akan hilang setelah bersalin dan selalunya masalah ini dapat disembuhkan dengan pengambilan ubat yang diberikan oleh doktor dan pengambilan diet yang betul," katanya.
Selain itu, bagi wanita yang mempunyai masalah buasir, Dr. Seenivasagam berkata, masalah itu mampu membesar sehingga ke peringkat ketiga ketika hamil jika mereka tidak mengamalkan diet seimbang dan pengambilan air yang mencukupi. Namun, buasir biasanya akan mengecil dan berkurang setelah bersalin. Buasir merupakan kusyen vaskular yang bertindak sebagai penghadang setiap kali membuang air besar. Masalah buasir akan timbul apabila pembengkakan pada kusyen vaskular berlaku akibat tekanan yang diberikan pada rektum berikutan aktiviti meneran.
Untuk mengenal pasti punca masalah pendarahan ini, pemeriksaan proctoscopy akan dilakukan alat tersebut dimasukkan ke dalam dubur untuk mengenalpasti punca masalah tersebut. Dalam pada itu, bagi merawat dan mengurangkan masalah pendarahan rektum ini, ubat melembutkan najis atau ubat mengawal buasir akan diberikan oleh doktor. "Masalah ini tidak memerlukan pembedahan dan kebanyakan pesakit tidak berjumpa doktor kerana takut dibedah," kata Dr. Seenivasagam. Pengambilan air sekurang-kurangnya lapan gelas sehari serta mengambil diet seimbang disarankan oleh doktor bagi mengelakkan pendarahan rektum berlaku semasa proses kehamilan. Jika gejala ini berlaku pada wanita hamil, segeralah berjumpa doktor bagi mengelakkan masalah lain seperti ketumbuhan atau kanser dalaman.
No comments:
Post a Comment