SYAITAN MASUK RUMAH?



“Bila nak masuk rumah, berilah salam.” kata saya kepada anak kecil saya.

“Mengapa perlu beri salam pada rumah? “Bukan ada sesiapa pun dalam rumah.”kata beliau kepada saya.

"Ya, benar, memang tiada orang di dalam rumah kita, tetapi kita perlu juga memberi salam bila hendak masuk ke dalam rumah." kata saya.

Sudah menjadi kebiasaan saya memperingatkan anak-anak agar memberi salam dan senantiasa menyebut nama Allah jika hendak masuk ke rumah.

Masuk rumah sendiri ke, rumah orang ke, rumah ada penghuni atau pun rumah yang tiada penghuni di dalamnya, sehinggakan masuk ke dalam kelas atau ke pejabat sekali pun, perlu bagi salam.

Jawapan yang pantas dan mudah bagi menjawab persoalan di atas, ialah kerana ianya telah dianjurkan atau diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w. kepada kita. Mudah kan. Tapi, apa dalilnya?


Mengapa perlu beri salam bila masuk ke rumah?.
 

Kita digalakkan memberi salam semasa hendak masuk kedalam rumah sepertimana Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

”...Maka apabila kamu memasuki mana-mana rumah, berilah salam ke atas sesama kamu sebagai penghormatan yang disyariatkan oleh Allah, yang diberkati (mengandungi keselamatan, rahmat dan keberkatan) lagi baik...” (Surah an-Nur: 24 : 61)


Begitu juga hadis dari Nabi Muhammad s.a.w. yang menyebut secara khusus tentang anjuran dan kelebihan memberi salam sebelum memasuki rumah. Antaranya:

Tiga golongan yang kesemua mereka itu dijamin oleh Allah, jika dia hidup diberi kecukupan dan jika dia mati masuk syurga, iaitu: Sesiapa yang masuk rumahnya dengan memberi salam, maka dia dijamin oleh Allah ‘Azza wa Jalla, sesiapa yang keluar pergi ke masjid, maka dia dijamin oleh Allah dan sesiapa yang keluar untuk pergi berjihad di jalan Allah, maka dia dijamin oleh Allah.” (Hadits riwayat Al-Bukhari)


Betapa indahnya Islam, kita telah diberikan jaminan oleh Allah akan kecukupan dalam hidup dan syurga setelah mati, dengan hanya mengikuti segala perintah Allah s.w.t. dan amalan yang telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w., iaitu
i. Memberi salam ketika masuk ke rumah
ii. Keluar menuju ke Masjid
iii. Berjihad di jalan Allah.



Bagaimanakah memberi Salam? 

Terdapat beberapa pendapat yang menyebut tentang bentuk atau cara memberi salam. Apa yang ingin saya kongsikan ini adalah dengan cara memberi salam sepertimana biasa kita sebut iaitu ‘Assalammualaikum’ atau ‘Assalammualaikum warhmatulLah’.

Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a., beliau berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: Wahai anakku! Jika kamu memasuki (rumah) menemui ahli keluarga kamu, berikanlah salam, nescaya akan mendatangkan keberkatan ke atas kamu dan ke atas ahli keluarga kamu.”
(Hadits Riwayat At-Tirmidzi)

Memberi salam itu juga boleh disifatkan sebagai mengingati Allah. Apabila kita merujuk kepada kelebihan menyebut nama Allah sebelum masuk rumah, rumah tersebut akan terhindar daripada syaitan.


Benarkan syaitan akan masuk ke dalam rumah apabila kita memasuki sesebuah rumah itu tanpa memberikan salam?

Berdasarkan maksud hadis dari Jabir bin ’Abdillah r.a. , Beliau pernah mendengar Nabi Muhammad S.A.W. bersabda :  
“Apabila seseorang dari kamu masuk ke dalam rumahnya, lalu menyebut nama Allah ketika memasukinya dan ketika hendak makan, berkata syaitan: Tiada tempat bermalam dan tiada makan malam untuk kamu semua (para syaitan). Dan apabila seseorang masuk ke dalam rumahnya tidak menyebut nama Allah ketika memasukinya, maka berkata syaitan: Kamu semua (para syaitan) telah mendapat tempat bermalam. Jika dia tidak menyebut nama Allah ketika hendak makan, berkata pula syaitan: Kamu semua telah mendapati tempat bermalan dan makan malam.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dengan ucapan salam, sesebuah rumah itu akan senantiasa dalam keberkatan daripada Allah Ta'ala, diberi kecukupan dan terhindar daripada gangguan syaitan. Bila rumah mendapat berkat maka penghuninya, InsyaAllah akan hidup dalam keadaan tenang dan tenteram.

Daripada Abu Malik al-Asyaari bahawa Rasulullah bersabda maksudnya:
"Apabila seorang hendak masuk ke dalam rumah, hendaklah dia mengatakan: Ya Allah, aku mohon kepada Engkau sebaik-baik tempat masuk dan sebaik-baik tempat keluar. Dengan nama Engkau kami masuk dan dengan nama Engkau kami keluar, dan kepada Tuhan kami, kami menyerahkan diri, kemudian memberi salam kepada keluarga." (Riwayat Abu Daud).

Mulai sekarang, marilah kita semua mendidik diri dan anak-anak serta seluruh ahli keluaga serta rakan-rakan kita agar melazimkan diri memberi salam ketika hendak masuk ke dalam rumah. Saya yakin kita juga dapat mengaplikasikan amalan ini bukan sahaja bila memasuki rumah, tetapi dapat diluaskan amalannya bila memasuki sesebuah premis seperti  bilik darjah, dewan seminar, pejabat maupun kedai.

Semoga catatan ringkas ini memberi peringatan dan manfaat buat semua.
Ingatlah akan sebuah hadis  yang diriwayatkan oleh Zaid bin Tsabit, Abdullah bin Mas’ud, Jabir bin Mut’im dan Abu Darda’ r.a. daripada Rasulullah s.a.w. Baginda s.a.w. bersabda maksudnya:

“Semoga Allah menyerikan kehidupan orang yang mendengar sesuatu hadits daripadaKu lalu dihafalnya sehingga ia menyampaikan hadits itu (kepada orang lain) kerana boleh jadi orang yang membawa sesuatu ilmu yang mendalam (hadits) menyampaikannya kepada orang yang lebih mendalam fahamannya dan boleh jadi ada orang yang membawa ilmu pengetahuan tetapi dia sendiri bukanlah seorang yang mendalam ilmunya”. (Riwayat Abu Daud, Tirmizi, Ahmad dan lain-lain).

2 comments:

Unknown said...

Perkongsian yang sangat bermanfaat.. Terima kasih.. Semoga usaha berkongsi ilmu ini diberkati dan dirahmati..

Unknown said...

Perkongsian yang sangat bermanfaat.. Terima kasih.. Semoga usaha berkongsi ilmu ini diberkati dan dirahmati..