Wah! Jelesnya...!

Itulah antara perasaan dan ungkapan yang biasa kita jumpa apabila terbaca atau terdengar mengenai kejayaan seseorang dalam apa-apa bidang atau usaha. Jarang pula kita menelaah dan mengkaji apa rahsia mereka yang membolehkan mereka mengecapi kejayaan itu. Lebih menyedihkan, ada pula antara kita yang meremehkan pencapaian itu dengan mengatakan "Biasalah, dia ada bakat!" Malah ini boleh dikatakan menjadi kesimpulan spontan yang biasa kita rumuskan apabila kita mendengar tentang kejayaan-kejayaan orang.

Suatu Ketidakadilan?

Apakah mungkin kita sebenarnya melakukan suatu ketidakadilan apabila seolah menafikan usaha, kerajinan, ketekunan dan keazaman kental yang perlu dimiliki oleh seseorang yang berjaya? Seorang pemain biola terkemuka di dunia pernah merungut apabila kemahirannya dikaitkan dengan 'bakat' dengan berkata : "Aku berhempas pulas berlatih dan mencari pengalaman selama 22 tahun tanpa menyerah kalah, dan sekarang mereka mengatakan ia hanya bakat (anugerah/ gift)!"

Cuba kita bayangkan kalau kita terpaksa bekerja keras untuk menyiapkan satu kerja penting, sehingga tidak tidur dan kurang makan, mengorbankan masa dengan keluarga, melalui tekanan perasaan yang hebat, lalu akhirnya hasil tersebut menjadi baik, tiba-tiba ada orang berkata: "Senanglah bagi dia, dia ada bakat!" Seolah-olah kejayaan itu dapat dihasilkan sebegitu baik dengan sebelah mata. Tak rasa sakit hati?

Habis di mana peranan BAKAT?

Tak dapat dinafikan, bakat ada sumbangan dan peranannya dalam kejayaan kita. Tetapi ia bukan satu-satunya penentu. Bakat hanyalah salah satu ramuan dalam resepi kejayaan. Ia tetap memerlukan ramuan-ramuan lain yang kadang-kadang sama penting malah lebih penting daripada bakat itu sendiri. (Buku 'Talent is Never Enough' karya J.C. Maxwell menyenaraikan lebih 10 perkara yang tidak kurang penting daripada bakat, termasuklah keberanian, kesanggupan kita berlatih dan juga passion atau keghairahan kita menyerlahkan bakat kita.) Pernahkah kita terfikir bahawa jika bakat sahaja memadai, mengapa pemain bola sepak berkemahiran tinggi seperti Ronaldo tetap disyaratkan menghadiri sesi latihan tanpa dikecualikan? Malah beliau dianggap memecah kontrak jika dengan sengaja tidak hadir?

Memahami 'advantage' BAKAT

Salah satu cara memahami bakat ialah menggunakan skala 1 hingga 10. Dengan adanya bakat, bermakna anda mungkin bermula pada skala 3 atau 4. Atau jika anda mempunyai bakat luar biasa, mungkin anda bermula pada tahap skala 5. Sedangkan orang lain mungkin bermula pada skala 1 atau 2. Jika anda dan orang tersebut melalui sesi latihan yang sama dari semua segi, pasti anda akan mendahului dan kelihatan lebih 'berbakat' berbanding orang lain, dan ini pasti terzahir melalui hasil dan pencapaian anda yang lebih hebat.

Namun apa jadi jika orang lain berusaha dengan jauh lebih gigih?

Apa kata orang tersebut berlatih 4-5 jam sehari berbanding anda yang hanya berlatih 1-2 jam? Anda akan mendapati bahawa jurang perbezaan dari segi kecekapan tidak lagi begitu ketara. Walaupun mungkin dari satu segi anda lebih beruntung kerana tidak perlu terlalu bersusah payah untuk menghasilkan natijah yang sama baik dengan orang yang berlatih jauh lebih kuat dan gigih berbanding anda. Namun hakikatnya ialah, berhadapan dengan kegigihan yang menggunung, bakat tidak lagi sepenting mana yang disangka!

Namun di sinilah 'titik kelemahan' atau Achilles Heel yang banyak menggagalkan orang yang memiliki bakat tinggi. Apabila kita berasa cukup bagus dengan kemahiran yang ada, apabila kejayaan datang dengan mudah tanpa perlu bermandikan peluh, apabila kita meyakini bahawa cukup sekadar kita menggantung harapan kepada bakat semata-mata tanpa menghiraukan ramuan-ramuan kejayaan yang lain, maka sebenarnya kita sudah tertipu. Malah ada kalanya kejayaan yang dikecapi itulah yang menanam bibit kejatuhan yang akhirnya menyebabkan kita tersungkur dalam arena kehidupan.

Ramai orang berbakat yang gagal

Di negara kita Malaysia, kita pernah mendengar tentang beberapa kanak-kanak pintar (prodigy) yang mampu membaca pada usia sangat muda. Mungkin berpunca daripada faktor ibubapa yang hanya mementingkan perbuatan mencanang kemampuan anak, berbanding memahami tanggungjawab besar yang mengiringi anugerah sebegitu, akhirnya anak-anak tersebut tidak ke mana dari segi kejayaan yang dicapai.

BAKAT vs Kemahiran

Cara berfikir yang lebih selamat dan praktikal ialah melihat semua kebolehan sebagai satu kemahiran yang boleh dikuasai dengan cara berusaha secara tekun dan gigih. Dalam tulisan beliau 'Everyone can do a handstand.' Peter Bregman menegaskan bahawa hampir kesemua kemahiran yang diperlukan untuk berjaya dalam kehidupan boleh dikuasai jika kita sanggup meluangkan masa dan tenaga untuk berlatih, sebagaimana semua orang sebenarnya boleh belajar berdiri atas tangan! Persoalannya bukanlah mustahil atau tidak, tetapi adakah kita sanggup melalui prosesnya dan membayar 'harga'nya?

BAKAT sebenarnya lebih kepada ALASAN

Jelasnya, bagi kebanyakan kita, bakat hanyalah satu alasan untuk tidak melakukan satu perkara yang betul, atau mengelakkan diri daripada bersusah payah mengasah potensi yang ada. "Saya tiada bakat belajar.", "Saya tiada bakat bercakap.", "Saya tiada bakat berniaga.", adalah antara reaksi yang menjadikan bakat sebagai alasan untuk tidak bersugguh-sungguh dalam berusaha.

Habis, apa pula cerita insan-insan istimewa yang kadang kala tidak cukup kaki dan tangan; ada yang tidak berpelajaran; ada yang buta huruf, tetapi mampu melakar kejayaan-kejayaan hebat yang sangat memberi inspirasi? Adakah mereka juga berjaya semata-mata kerana bakat?

Bagi mereka yang juga sibuk menyalahkan ketiadaan bakat sebagai punca mereka tidak berjaya, jawapannya senang saja..."Itulah, rezeki mereka nak berjaya...!"

Aduh...! Rezeki pulak...! Ada-ada saja!


No comments: