EURO 2012: Kita Juga Boleh Gol!


Salam!


Hai abang-abang dan kakak-kakak yang melayan demam EURO 2012. Anda sokong team mana? Saya dalam diam-diam sokong Sepanyol. Heheh!

Mata mengantuk tak dilayan, anak menangis buat-buat tak dengar. Yang penting ialah meraikan kehebatan dan kemenangan pasukan pilihan, ye dak? Tambah pula kalau yang keluar ke kedai mamak dan menyaksikannya di skrin besar bersama kawan-kawan yang sokong team yang sama semeja dan team lawan di meja sebelah. Hangat!! Restoran pun banyak yang menawarkan menu special sempena EURO 2012 ni.

Kalau saya tanya 'Apa khabar?' agaknya apa jawapan anda ya? Ramai yang akan kata 'Abang sihat ja dik. No problem!" atau "Akak okey je. Tak ada hal lah.". Eh betulkah? Tak sakit kepala kah? Perut tak sebu? Leher tak rasa tegang dan stress? Tumpuan bekerja tak lari? Tahukah anda di sebalik keghairahan  bersorak dan kegembiraan meraikan kemenangan team pilihan itu ada BAHAYA yang tidak kita sedar iaitu MASALAH KESIHATAN? :O Mari saya kongsikan beberapa! 

1. Peningkatan Tahap Kolesterol dan Gula dalam Darah
Kalau tengok bola di kedai mamak mestilah nak order sekurang-kurangnya kopi O panas untuk hilang kantuk atau teh tarik gelas besar supaya nanti menjerit tekak tak kering kan? Yang tonton dari rumah pun mesti nak semangkuk besar popcorn, atau yang terasa lapar akan buat mi segera. Bola pula mula lewat malam dan berlarutan ke awal pagi. 

Tabiat makan pada lewat malam akan menyebabkan kolesterol dan gula terkumpul dalam darah, kerana selepas makan (dan bersorak bagai di kedai mamak) kita pulang ke rumah dan terus tidur. Dalam keadaan begitu, lemak dan gula yang kita makan tadi tak ditukarkan kepada tenaga secara efisyen jadi...hai..ramailah yang dapat masalah kesihatan. 

2. Tekanan Darah Tinggi 
Bila kita tidur lewat, badan kita akan mengeluarkan sejenis bahan yang dinamakan cortisol yang akan meningkatkan tekanan darah kita. Bila tekanan darah meningkat tinggi daripada biasa, mulalah kita rasa pening-pening. Kalau nak tahu, cortisol ini lah juga yang membuat onar meningkatkan gula dalam darah, dan ke'power'an cortisol ini dibantu lagi dengan kehadiran gula dan lemak dalam makanan dan minuman. 

3. Stress! 
Bila tak cukup tidur, kita mengantuk. Bila mengantuk dan terpaksa kerja, mulalah kita rasa kurang senang dengan keadaan diri. Ini membuatkan kita kurang tumpuan untuk bekerja dan prestasi pun menurun pada musim demam bola ni. Stress juga mampu menambah lagi tekanan darah tinggi tadi dan membawa ke masalah jantung pula.

Itulah antara masalah yang akan kita hadapi dalam seronoknya kita merayakan kemenangan team yang kita sokong! Jangan pandang mudah kerana jika di setiap musim bola kita macam ini, lama-lama kita yang gol! Jaga kesihatan anda. Tontonlah dengan rasa tanggungjawab kepada kesihatan sendiri. Saran saya, tontonlah hanya perlawanan team yang anda sokong. Jangan belasah semua kerana kesihatan anda lebih berharga daripada sebuah jaringan gol!

Jumpa lagi!

No comments: