MANA YANG LEBIH UTAMA, IBU ATAU AYAH?

Adik sayang bapa ke, sayang ummi ke? tanya saya kepada anak kecil.  Jawapan yang sering keluar dari mulutnya, ‘Sayang bapa’. Berapa kali bertanya pun, jawapannya tetap sama, ‘Sayang bapa’. Kini bila sudah semakin besar, maka dia akan menjawab, ‘Sayang bapa dan ummi’. Mungkin ia dah pandai menilai dan ingin menjaga hati kedua ibubapanya agar tidak terguris hati.

Pastinya rakan-rakan di luar sana pun sering bertanya soalan yang sama kepada kanak-kanak atau anak masing-masing.  Tentu kita akan jumpa anak-anak yang lebih cenderung sayang kepada Bapa, dan ada juga yang lebih sayang dan cenderung kepada Ibunya.


Apakah contoh yang telah ditunjukkan oleh Nabi kita, Muhammad s.a.w. ?

Hadis daripada Abu Hurairah r.a., beliau berkata:

"Seorang lelaki telah datang menemui Rasulullah s.a.w dan bertanya : "Wahai Rasulullah! Siapakah yang paling berhak untuk aku berbuat baik? Rasulullah menjawab : "Ibumu".  Dia bertanya (lagi): "Kemudian siapa?". Rasulullah s.a.w menjawab : "Ibumu".  Kemudian dia bertanya (lagi) : "Kemudian siapa?"  Rasulullah s.a.w menjawab : "Ibumu". Dia bertanya (lagi : "Kemudian siapa?" Rasulullah s.a.w menjawab : "Ayahmu".  [Riwayat al-Bukhari].


Mengapa Ibu Lebih Diutamakan?

Di antara ibu dan ayah, ibulah yang lebih berhak dan diberi keutamaan dalam berbakti.  Ibu memiliki hak tiga kali ganda lebih utama berbanding seorang bapa atau ayah sepertimana tersebut dalam hadis di atas. Sungguh tinggi dan mulianya kedudukan seseorang Ibu di sisi Allah s.w.t.  Ibu yang telah sanggup bersusah- payah mengandungkan kita antara 7 hingga 9 bulan atau lebih, menahan sakit perit sebelum, semasa dan selepas melahirkan, sabar dan tabah dalam menjaga, membentuk dan mendidik kita dari bayi yang tidak boleh berbuat apa-apa sehinggalah kita menjadi ‘insan’ yang sempurna dan berguna.  Qaseh Ibu tiada tolok bandingnya dalam mendidik dan membesarkan kita jika dibandingkan dengan ayah.

Begitu tinggi darjat dan pengorbanan insan bergelar Ibu berdasarkan firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya, ibunya telah mengandungkannya dengan keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya selama dua tahun, bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua orang tuamu, hanya kepada Akulah tempat kembali”    [Luqman, 31: 14]

Juga Firman Allah yang bermaksud:

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah.…  [al-Ahqaf 46:15]


Begitu juga terdapat kisah seorang sahabat,  

Mu’awiyah bin Jahimah yang datang kepada Nabi S.A.W. dan berkata: “Wahai Rasulullah, aku ingin pergi berperang, aku datang untuk meminta pandangan-mu. Nabi S.A.W. bertanya: Apakah kamu mempunyai ibu? Jawabnya: “Ya”. Sabda Nabi S.A.W.: Peliharalah (berbuat baiklah kepada) dia, sesungguhnya syurga berada di bawah dua kakinya. [Riwayat al-Nasai ]

Hadis di atas merupakan satu petunjuk kepada kita semua supaya senantiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk menabur bakti dan berbuat baik terutamanya kepada Ibu. Rasulullah menjamin syurga bagi anak yang berbuat baik kepada Ibu!.

Marilah kita semua berlumba-lumba berbakti kepada Ibu. Senantiasa merendahkan diri kepadanya, menyayangi dan mendoakannya moga Allah mengampuni Ibu kita serta mengangkat darjat Ibu kita ketahap yang tertinggi serta bersungguh-sungguh beribadah kepada Allah s.w.t. .

1 comment:

Luqman said...

Peringatan yang menginsafkan, dan motivasi untuk setiap wanita bergelar ibu atau bakal bergelar sedemikian. Menyedihkan apabila hari ini ada yang sanggup membelasah ibu semata untuk habuan dunia yang sementara. Mungkin perlu dikupaskan dari faktor pendidikan dan permakanan yang menyebabkan hilang pertimbangan dan keperimanusiaan.