Siapakah Teman Anda Hari Ini?

Para Usahawan Muslimin dan Muslimat Ana yang disegani,

Sebuah ungkapan inggeris mengatakan : "Where you will be 5 years from now will be determined by the books that you read and the people that you associate with, today." Dengan izin, bermaksud : Di mana anda akan berada 5 tahun lagi akan ditentukan oleh buku-buku yang anda baca dan orang-orang yang anda dampingi hari ini.

Dua pengajaran penting daripada ungkapan ini :

Pertama, kita perlu belajar hari ini sebagai persediaan untuk esok. Ungkapan di atas walaupun menyebut tabiat membaca buku, sebenarnya merujuk kepada maksud belajar dalam ertikata yang lebih luas iaitu daripada semua sumber termasuklah daripada buku, seminar, wacana ilmiah, televisyen, kulliyyah dan sebagainya. Kualiti pemikiran kita akan menentukan kualiti tindakan kita, seterusnya ini akan menentukan kualiti tabiat-tabiat yang kita bina; tabiat-tabiat kita pula menentukan kualiti hasil yang kita perolehi, dan akhirnya hasil tersebut menentukan kualiti kehidupan kita!

Kedua, kita juga perlu sensitif kepada isu siapa yang kita dampingi, sama ada teman, keluarga, saudara-mara dan rakan sekerja. Kita perlu sentiasa memerhati kesan daripada perhubungan tersebut terhadap sikap dan pembentukan perwatakan kita. Kesan daripada pendampingan ini kadang kala tidak terzahir melainkan selepas tempoh waktu yang lama, dan lebih penting, kadang kala kita tidak perasan bahawa kita sudah berubah. Hanya orang lain yang pernah mengenali kita dahulu akan melihat perubahan tersebut dan memberitahu kita bahawa kita telah berubah!Dalam hal ini kita perhatikan beberapa hadis Rasulullah S.A.W yang mafhumnya : Dampingilah penjual attar, mudah-mudahan kita mengambil manfaat daripada baunya; dan juga : Deen atau jalan hidup seseorang itu adalah atas deen (jalan hidup) teman-temannya.

Manusia adalah makhluk sosial, dan memerlukan persahabatan dan perhubungan dengan manusia lain. Kadang kala demi mendapat penerimaan daripada orang di sekeliling kita, kita akan mengambil cara hidup atau cara berfikir yang bersesuaian dengan kelompok tersebut. Di sinilah kita fahami mengapa pilihan orang yang kita dampingi sangat memainkan peranan dalam membentuk diri dan sekaligus masa depan kita.

Bukanlah pula bermaksud kita perlu 'memilih bulu' atau memutuskan silaturrahim, tetapi kita perlu menghadkan masa secara berhemah, serta sentiasa memelihara prinsip dan perwatakan kita apabila kita perlu mendampingi mereka pada waktu-waktu tertentu.

Jadi sentiasalah kita mengukur di mana kita dalam kedua-dua perkara ini, mudah-mudahan 5 tahun lagi kita akan berada di mana kita ingin berada, dan mencapai apa yang kita ingin capai, insya Allah!

No comments: