2 Jenis Penyiksaan

Para Usahawan Muslimin ANA yang berusaha,

Dalam kita berjuang demi mengecapi kebahagiaan dunia dan akhirat, sudah pasti perjalanan kita ini akan bertemu dengan berbagai persimpangan. Persimpangan ini adalah simbolik kepada pilihan-pilihan yang kita perlu buat, dan setiap pilihan ini sudah barang pasti akan membawa kita kepada destinasi yang berbeza. Di sini terdapat banyak bahaya yang kita perlu berwaspada agar tidak tersilap pilih...Antaranya, kalau kita tersilap pilih persimpangan, kita akan tiba ke destinasi yang berbeza daripada apa yang kita ingin tuju....Kadang-kala kita sampai juga ke destinasi kita, tetapi perjalanan itu mengambil masa dan tenaga yang lebih banyak daripada apa yang sepatutnya...Kadang-kala kita terperangkap dalam mind set yang salah dan akhirnya berlegar-legar di persimpangan yang sama, atau kembali ke tempat yang sama setiap kali, seolah-olah kita berjalan dalam sebuah bulatan....

Apa pun, pilihan tetap perlu dibuat....dan disiplin untuk membina diri serta membuat keputusan adalah satu 'harga' yang kita perlu bayar selagi hayat dikandung badan....

Dalam konteks ini, kita perlu faham bahawa dalam hidup ini ada dua jenis 'penyeksaan'...

Pertama, penyeksaan dalam mendisiplinkan diri kita supaya sentiasa memahami dan memilih jalan yang benar. Sememangnya ini bukanlah mudah seperti yang disangka, dan sentiasa memerlukan muhasabah serta sikap dahagakan ilmu, bersertakan kecekalan untuk beristiqamah dengan pilihan yang benar di sebalik rintangan dan tentangan yang akan mendatang dari segenap penjuru. Kita ingat janji Iblis kepada Allah bahawa selagi manusia hidup, dia akan berusaha untuk menyesatkan manusia daripada jalan yang benar.

Usaha ini tidak akan datang dalam bentuk jelmaan manusia yang cuba menyesatkan kita seperti yang kita baca dalam sirah para nabi...kadang kala kalau difikirkan, mungkin ini lebih mudah untuk kita hadapi! Namun usaha menyesatkan itu akan datang dari arah dalaman kita sendiri, termasuk ego dan nafsu kita yang akan memberi seribu satu alasan; ia mungkin akan datang daripada persekitaran kita yang memberi tekanan hebat kepada kita untuk terus kekal di takuk sama; lebih mencabar ia mungkin datang melalui orang-orang kesayangan kita seperti keluarga terdekat dan saudara-mara yang mungkin ikhlas ingin membantu kita tetapi sayangnya tidak memahami apa yang ingin kita capai.

Maka jika kita tidak sanggup melalui penyeksaan ini....jika kita lalai atau lemah dalam membina kekuatan untuk beriltizam dan beristiqamah pada jalan yang betul...jika penyeksaan mendisiplinkan diri kita menjadi terlalu hebat bagi kita....maka kita perlu menempuh penyeksaan kedua...

Iaitulah penyeksaan rasa sesal apabila umur hanya tinggal sisa, tenaga sudah tiada, kemampuan ekonomi entah ke mana, rakan dan saudara menghilang begitu sahaja.... Rasa sesal yang menghimpit perasaan dan menyeksa diri setiap detik atas keputusan kita untuk menyerah masa depan kita kepada unsur-unsur atau pihak-pihak yang kini tidak lagi mendampingi kita. Penyeksaan bentuk inilah yang bakal menemani kita dalam menghabiskan baki umur dan lebih menggerunkan ialah : Bagi kita umat Islam penghujung hayat itu bukan penamat derita...tetapi pintu masuk kepada kehidupan yang kekal abadi...sama ada bahagia atau terseksa....Malah beratnya bebanan sesalan ini sehingga Allah menjadikannya sebahagian daripada bentuk seksaan untuk ahli neraka di akhirat kelak, ditambah dengan putusnya harapan daripada rahmat Allah...Wal'iyazubillah...

Maka penyeksaan mana yang kita pilih? Penyeksaan disiplinkan diri atau penyeksaan rasa kesal dan sesal yang tidak berkesudahan....Pilihlah dengan bijak!

No comments: