Kekalkan Motivasi Anda!

Betapa ramai antara kita  yang memulakan program kesihatan termasuk diet dan senaman dengan semangat berkobar-kobar namun akhirnya kecundang tak sampai seminggu selepas memulakan program tersebut? Ada juga yang bertahan sebulan, atau setahun, namun kemudian berat badannya naik lebih tinggi daripada timbangan sebelum menyertai program tersebut! Mungkin anda juga pernah mengalaminya?

Rahsia mereka yang berjaya mengekalkan motivasi dalam apa jua usaha sekalipun ialah : mengenalpasti SEBAB yang BERMAKNA bagi mendorong kita beristiqamah dengan program tersebut. Dan kajian menunjukkan bahawa dorongan dalaman (inspirasi) adalah jauh lebih berkekalan berbanding motivasi luaran (external motivators) termasuklah mengikut ajakan orang, memuaskan hati pasangan, marah dengan ejekan orang, ataupun ingin kelihatan cantik di hadapan individu tertentu, atau semasa majlis tertentu. Semua dorongan ini hanya bersifat sementara dan cepat pudar apabila faktor luaran tersebut lenyap daripada kehidupan kita.

Justeru, hayatilah sebab-sebab yang lebih bermakna dan bersifat jangka panjang, seperti menghargai anugerah Allah yang menyihatkan kita, ingin hidup lama bersama pasangan yang disayangi, rasa kasih sayang terhadap anak-anak serta ingin melihat mereka dewasa dan berkeluarga, atau menghabiskan umur untuk berbakti kepada agama dan masyarakat. Seterusnya tuliskan SEBAB tersebut di mana-mana; pada peti ais, di meja solek, dalam diari anda untuk memastikan anda sentiasa mengingati hasrat murni anda itu.

Dan sudah tentu, hiasi usaha anda dengan doa agar dapat beristiqamah dan agar usaha anda tersebut terhitung sebagai ibadah yang akan memberi nikmat kesihatan di dunia dan juga kebahagiaan di akhirat kelak, insya Allah!

No comments: