Jangan Putus Asa!

Eh, eh, rosak ke alat timbang ni....Macam tak gerak-gerak dari minggu lepas? Ni yang malas ni!
“No pain, no gain!” Begitulah kata-kata pujangga yang boleh dijadikan pedoman. Cuma mungkin dalam konteks diet, kita perlu mengubahnya kepada “No pain, no loss!” Maksudnya, kalau hendak mencapai berat badan yang optimum, perlulah bersusah payah. Terdapat beberapa ‘halangan’ yang sering menjadi punca ramai berhenti berdiet, sedangkan perkara tersebut adalah perkara normal dan tidak patut dijadikan alasan!

1. Lebih perlahan, lebih baik.
Kesalahan paling biasa yang dilakukan oleh orang berdiet ialah meletakkan sasaran yang tidak realistik. Secara optimum, penurunan berat badan yang patut menjadi sasaran kita ialah 0.5-1kg seminggu. Banyak kajian telah dibuat yang membuktikan bahawa individu yang berat badannya turun dengan cepat lebih tinggi risiko untuk mendapatnya kembali. Jangan lemah semangat hanya kerana anda melihat di kaca tv atau membaca di media massa bahawa ada individu yang kehilangan 15 kilo dalam masa sebulan!

2. Setiap Orang Adalah Berbeza
Sesetengah orang akan melihat berat badannya turun dengan banyak untuk beberapa minggu pertama, sedangkan orang lain turun sangat sedikit. Walaupun ini agak mengecewakan, ia bukanlah satu alasan untuk berhenti. Kadangkala lebih masa diperlukan untuk anda melihat kesan pada timbangan, dan kita perlu mengingatkan diri kita bahawa amalan makan dengan seimbang dan bersenam secara konsisten akan memberi kesan baik yang lain seperti lebih bertenaga, kurang stress, tidur lebih nyenyak dan kurang risiko untuk berbagai penyakit. Anda tetap menikmati manfaat-manfaat ini, tanpa mengira apa angka yang ditunjukkan oleh timbangan anda!

3. Penurunan Tidak Semestinya Konsisten Setiap Minggu
Ramai pula yang mengalami penurunan berat badan yang banyak pada minggu-minggu awal, kemudian berat badannya menjadi statik untuk beberapa minggu selepasnya, walaupun mereka berusaha dengan konsisten. Tubuh badan kita adalah kompleks dan tidak semestinya ‘patuh’ kepada tanggapan dan sasaran penurunan berat badan kita! Amat jarang untuk kita mengalami penurunan konsisten pada setiap minggu, dan oleh sebab itu pakar menasihati kita supaya menimbang berat badan secara bulanan kerana ia akan memberi bacaan lebih tepat.

Jadi, jangan cepat berputus asa, insya Allah pada lain waktu kita akan berkongsi lagi beberapa kesilapan tanggapan yang mungkin menyebabkan usaha ramai individu untuk mengurangkan berat badan ‘terkubur’!

No comments: