Kesilapan Sebagai 'Baja'!

Assalamualaikum teman-teman,

Setiap perkara yang berbaloi dalam dunia ini pasti mempunyai cabaran dalam merealisasikannya. Hanya perkara remeh, enteng dan tidak berbaloi sahaja yang dapat dicapai dengan mudah dan tanpa perlunya kita bertungkus lumus mengerjakan tulang empat kerat.

Lalu, antara cabaran-cabaran yang kita hadapi itu pastinya ada yang menyebabkan kita tergelincir dan jatuh. Kerana manusia itu tidak sunyi daripada kealpaan dan kesilapan. Justeru, persepsi yang tepat berhubung kegagalan mestilah ditanam dalam diri kita agar kita dapat bingkas bangun dan meneruskan perjalanan berbekalkan inspirasi yang lebih kukuh ke destinasi yang dihajati.

Salah satu persepsi penting ialah melihat kesilapan itu sebagai baja yang menyuburkan tindakan-tindakan yang betul. Baja itu sememangnya busuk dan menjijikkan, tetapi ia sangat diperlukan untuk menyuburkan pokok dan seterusnya mengeluarkan buah-buahan yang ranum. Maka kesilapan juga walaupun tidak disukai, adalah perlu untuk menunjukkan kita kepada apa yang kita patut hindari serta tindakan yang patut kita ambil, akhirnya membuahkan hasil yang baik bagi kita. Seperti yang selalu kita dengar, Thomas Edison pernah berkata bahawa daripada ribuan ujikaji yang telah gagal beliau akhirnya berjaya menemui jawapan dan mencipta mentol yang sehingga kini membantu menyinari kegelapan dalam hidup kita! Beliau melihat bahawa setiap kesilapan yang dilakukan membolehkannya mengambil satu langkah lagi ke arah kepada kejayaan! Maka kita perlu belajar daripada sikap yang ditunjukkan beliau dan melihat kesilapan sebagai 'papan tanda' yang menunjukkan kita kepada jalan yang sepatutnya kita lalui.

Bukan pula bermaksud kita perlu membuat kerja secara sambil lewa atau membuta tuli sehingga melakukan kesilapan, tetapi berusahalah sebaik mungkin dalam setiap urusan; dan jika kita tersilap langkah, belajarlah daripadanya dan segeralah meneruskan perjalanan hidup dengan lebih yakin, lebih mantap dan lebih berpengetahuan. Jadikan pengalaman kita itu satu motivasi kepada diri kita untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baik lagi.



2 comments:

Ibu Mifzal said...

Thanks...satu motivasi yg terkesan..

Kelly said...

Kami harap semua beroleh manfaat daripada motivasi ni :D