Batu Halangan Kepada Batu Loncatan

Assalamalaikum wrt wbt,

Para Usahawan Muslim ANA yang disegani,

Sekiranya dihadapi dengan berhemah dan bijaksana, masalah-masalah yang kita hadapi dapat memberi kita satu lonjakan dan motivasi ke arah yang betul. Itulah yang dimaksudkan oleh sebuah ungkapan inggeris 'To turn stumbling blocks into stepping stones' maksudnya, 'Menukarkan batu-batu halangan menjadi batu-batu loncatan'.

Setiap halangan yang kita temui dalam perjalanan kita ke arah destinasi yang kita idamkan sebenarnya membawa benih-benih rahmat yang jika kita manfaatkan, dapat memberi kita pulangan yang baik pada hari muka. Pulangan di sini bukan semestinya dalam bentuk wang atau harta, tetapi dalam bentuk inspirasi, kekuatan minda, spiritual dan kemahiran yang dapat kita perolehi hasil daripada kecekalan kita menangani masalah tersebut. Kita juga akan mendapat pulangan dalam bentuk pengalaman yang berharga, dan ini membolehkan kita menyelesaikan masalah tersebut dengan lebih baik apabila kita bertembung dengannya untuk kali kedua.

Kita akhiri nota ringkas ini dengan sebuah cerita. Seorang bapa yang ingin mendidik anaknya erti hidup telah meminta anaknya membawa serbuk kopi, beberapa potong lobak dan sebiji telur. "Nah, sekarang masukkan semuanya ke dalam air yang panas mendidih." suruh bapanya. Anak tersebut pun mengikuti suruhan bapanya dan meletakkan bahan-bahan tersebut dalam bekas-bekas berbeza yang dipenuhi air yang sedang mendidih. "Sekarang mari kita tengok apa yang berlaku," bapanya mengeluarkan lobak yang telah dididihkan daripada bekasnya. Lobak itu telah menjadi lembik dan hancur. "Begitulah sesetengah manusia dalam kehidupan ini, apabila berhadapan dengan masalah, ia akan menjadi lemah dan lembik. Ia tidak berani mengejar cita-cita dan mudah putus asa. Orang seperti ini juga tidak ada pendirian dan hanya menerima keadaan seadanya tanpa berusaha." Seterusnya, bapa tersebut mengeluarkan pula telur yang telah direbus. "Nah, lihat pula telur ini, ia menjadi terlalu keras." ujar bapa tersebut. "Ada manusia yang melalui kesukaran hidup dan akhirnya hati dan sikapnya keras seperti batu. Dia menjadi seorang yang berhati degil, mementingkan diri sendiri dan berdendam, kerana pada fikirannya jika dia telah susah, maka orang lain juga patut susah!"

Akhir sekali, bapanya menunjukkan kepada kopi yang telah dididihkan. "Lihatlah nak, sesetengah orang melalui masa-masa yang sukar dalam kehidupannya, dan ini menjadi lebih baik daripada sebelumnya; lebih harum, lebih enak dan lebih memberi manfaat kepada manusia. Anak pilihlah sendiri, sama ada hendak menjadi seperti lobak, telur atau kopi yang kita lihat tadi!"

Justeru itu, semua usahawan Ana digalakkan sentiasa mencari hikmah di sebalik setiap masalah yang menimpa. Sama ada kesukaran berkongsi produk atau menaja ahli yang berkualiti, semua ini mengandungi inspirasi, motivasi, pengajaran dan mendedahkan kekuatan dan kelemahan kita terhadap diri kita sendiri, untuk kita amati dan melakukan perubahan dan pembaikan yang sewajarnya. Dan setiap masalah yang kita hadapi itu akan memberi kita peluang untuk melonjakkan diri kita ke tahap yang lebih cemerlang lagi!

No comments: