Jawapan mudah yang perlu kita yakini ialah: Ya! Kita tetap mampu melakukan sesuatu yang hebat walaupun kita berhadapan dengan ujian-ujian getir! Walau betapa besar masalah yang kita hadapi, kita tetap mampu mengubah keadaan dan menghasilkan sesuatu yang cemerlang!
Mengapa kita mampu berbuat demikian? Kerana manusia memang dijadikan hebat. Manusia berbeza daripada makhluk-makhluk Allah yang lain, kerana tanggungjawab yang kita pikul jauh lebih berat dan hebat berbanding makhluk-makhluk lain. Bukan senang untuk menerima title Khalifah di bumi Allah ini!
Oleh itu, jika seekor kucing atau anjing mewarisi sebidang tanah, mungkin haiwan itu hanya menjadikan tanah tersebut tempat permainannya ataupun ‘tandas’nya! Kita tidak wajar mengharap lebih daripada itu kerana itu memanglah naluri haiwan. Namun berbeza keadaannya dengan manusia. Jika manusia dikurniakan sebidang tanah, dia mampu menukarkannya menjadi sebidang kebun, sebuah kolam, membina sebuah masjid atau membina bangunan tinggi yang mencakar langit, atau perkara-perkara yang lebih hebat lagi sesuai dengan perjalanan masa.

Syaratnya ialah kita sanggup menyelami diri kita untuk mencari kekuatan dan kehebatan yang sememangnya dianugerahkan Allah kepada setiap manusia. Sesungguhnya kekuatan itu tetap ada, menunggu masa untuk diseru dan dimanfaatkan.
Dengan anugerah ini, kita mampu mengubah apa sahaja yang perlu diubah. Maka kita perlu mencabar diri kita agar berubah. Kalau kita tidak menyukai sesuatu keadaan, ubahlah keadaan itu! Kalau ada yang tak cukup, ubahlah keadaan itu! Kalau ada yang tidak sesuai dengan kita, ubahlah! Kalau berlaku perkara yang tidak adil, ubahlah! Kita tidak perlu menjalani hari-hari yang serupa setiap kali.

No comments:
Post a Comment