Showing posts with label Allah. Show all posts
Showing posts with label Allah. Show all posts

SYAITAN MASUK RUMAH?



“Bila nak masuk rumah, berilah salam.” kata saya kepada anak kecil saya.

“Mengapa perlu beri salam pada rumah? “Bukan ada sesiapa pun dalam rumah.”kata beliau kepada saya.

"Ya, benar, memang tiada orang di dalam rumah kita, tetapi kita perlu juga memberi salam bila hendak masuk ke dalam rumah." kata saya.

Sudah menjadi kebiasaan saya memperingatkan anak-anak agar memberi salam dan senantiasa menyebut nama Allah jika hendak masuk ke rumah.

Masuk rumah sendiri ke, rumah orang ke, rumah ada penghuni atau pun rumah yang tiada penghuni di dalamnya, sehinggakan masuk ke dalam kelas atau ke pejabat sekali pun, perlu bagi salam.

Jawapan yang pantas dan mudah bagi menjawab persoalan di atas, ialah kerana ianya telah dianjurkan atau diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w. kepada kita. Mudah kan. Tapi, apa dalilnya?


Mengapa perlu beri salam bila masuk ke rumah?.
 

Kita digalakkan memberi salam semasa hendak masuk kedalam rumah sepertimana Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

”...Maka apabila kamu memasuki mana-mana rumah, berilah salam ke atas sesama kamu sebagai penghormatan yang disyariatkan oleh Allah, yang diberkati (mengandungi keselamatan, rahmat dan keberkatan) lagi baik...” (Surah an-Nur: 24 : 61)


Begitu juga hadis dari Nabi Muhammad s.a.w. yang menyebut secara khusus tentang anjuran dan kelebihan memberi salam sebelum memasuki rumah. Antaranya:

Tiga golongan yang kesemua mereka itu dijamin oleh Allah, jika dia hidup diberi kecukupan dan jika dia mati masuk syurga, iaitu: Sesiapa yang masuk rumahnya dengan memberi salam, maka dia dijamin oleh Allah ‘Azza wa Jalla, sesiapa yang keluar pergi ke masjid, maka dia dijamin oleh Allah dan sesiapa yang keluar untuk pergi berjihad di jalan Allah, maka dia dijamin oleh Allah.” (Hadits riwayat Al-Bukhari)


Betapa indahnya Islam, kita telah diberikan jaminan oleh Allah akan kecukupan dalam hidup dan syurga setelah mati, dengan hanya mengikuti segala perintah Allah s.w.t. dan amalan yang telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w., iaitu
i. Memberi salam ketika masuk ke rumah
ii. Keluar menuju ke Masjid
iii. Berjihad di jalan Allah.



Bagaimanakah memberi Salam? 

Terdapat beberapa pendapat yang menyebut tentang bentuk atau cara memberi salam. Apa yang ingin saya kongsikan ini adalah dengan cara memberi salam sepertimana biasa kita sebut iaitu ‘Assalammualaikum’ atau ‘Assalammualaikum warhmatulLah’.

Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a., beliau berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: Wahai anakku! Jika kamu memasuki (rumah) menemui ahli keluarga kamu, berikanlah salam, nescaya akan mendatangkan keberkatan ke atas kamu dan ke atas ahli keluarga kamu.”
(Hadits Riwayat At-Tirmidzi)

Memberi salam itu juga boleh disifatkan sebagai mengingati Allah. Apabila kita merujuk kepada kelebihan menyebut nama Allah sebelum masuk rumah, rumah tersebut akan terhindar daripada syaitan.


Benarkan syaitan akan masuk ke dalam rumah apabila kita memasuki sesebuah rumah itu tanpa memberikan salam?

Berdasarkan maksud hadis dari Jabir bin ’Abdillah r.a. , Beliau pernah mendengar Nabi Muhammad S.A.W. bersabda :  
“Apabila seseorang dari kamu masuk ke dalam rumahnya, lalu menyebut nama Allah ketika memasukinya dan ketika hendak makan, berkata syaitan: Tiada tempat bermalam dan tiada makan malam untuk kamu semua (para syaitan). Dan apabila seseorang masuk ke dalam rumahnya tidak menyebut nama Allah ketika memasukinya, maka berkata syaitan: Kamu semua (para syaitan) telah mendapat tempat bermalam. Jika dia tidak menyebut nama Allah ketika hendak makan, berkata pula syaitan: Kamu semua telah mendapati tempat bermalan dan makan malam.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dengan ucapan salam, sesebuah rumah itu akan senantiasa dalam keberkatan daripada Allah Ta'ala, diberi kecukupan dan terhindar daripada gangguan syaitan. Bila rumah mendapat berkat maka penghuninya, InsyaAllah akan hidup dalam keadaan tenang dan tenteram.

Daripada Abu Malik al-Asyaari bahawa Rasulullah bersabda maksudnya:
"Apabila seorang hendak masuk ke dalam rumah, hendaklah dia mengatakan: Ya Allah, aku mohon kepada Engkau sebaik-baik tempat masuk dan sebaik-baik tempat keluar. Dengan nama Engkau kami masuk dan dengan nama Engkau kami keluar, dan kepada Tuhan kami, kami menyerahkan diri, kemudian memberi salam kepada keluarga." (Riwayat Abu Daud).

Mulai sekarang, marilah kita semua mendidik diri dan anak-anak serta seluruh ahli keluaga serta rakan-rakan kita agar melazimkan diri memberi salam ketika hendak masuk ke dalam rumah. Saya yakin kita juga dapat mengaplikasikan amalan ini bukan sahaja bila memasuki rumah, tetapi dapat diluaskan amalannya bila memasuki sesebuah premis seperti  bilik darjah, dewan seminar, pejabat maupun kedai.

Semoga catatan ringkas ini memberi peringatan dan manfaat buat semua.
Ingatlah akan sebuah hadis  yang diriwayatkan oleh Zaid bin Tsabit, Abdullah bin Mas’ud, Jabir bin Mut’im dan Abu Darda’ r.a. daripada Rasulullah s.a.w. Baginda s.a.w. bersabda maksudnya:

“Semoga Allah menyerikan kehidupan orang yang mendengar sesuatu hadits daripadaKu lalu dihafalnya sehingga ia menyampaikan hadits itu (kepada orang lain) kerana boleh jadi orang yang membawa sesuatu ilmu yang mendalam (hadits) menyampaikannya kepada orang yang lebih mendalam fahamannya dan boleh jadi ada orang yang membawa ilmu pengetahuan tetapi dia sendiri bukanlah seorang yang mendalam ilmunya”. (Riwayat Abu Daud, Tirmizi, Ahmad dan lain-lain).
MANA YANG LEBIH UTAMA, IBU ATAU AYAH?

Adik sayang bapa ke, sayang ummi ke? tanya saya kepada anak kecil.  Jawapan yang sering keluar dari mulutnya, ‘Sayang bapa’. Berapa kali bertanya pun, jawapannya tetap sama, ‘Sayang bapa’. Kini bila sudah semakin besar, maka dia akan menjawab, ‘Sayang bapa dan ummi’. Mungkin ia dah pandai menilai dan ingin menjaga hati kedua ibubapanya agar tidak terguris hati.

Pastinya rakan-rakan di luar sana pun sering bertanya soalan yang sama kepada kanak-kanak atau anak masing-masing.  Tentu kita akan jumpa anak-anak yang lebih cenderung sayang kepada Bapa, dan ada juga yang lebih sayang dan cenderung kepada Ibunya.


Apakah contoh yang telah ditunjukkan oleh Nabi kita, Muhammad s.a.w. ?

Hadis daripada Abu Hurairah r.a., beliau berkata:

"Seorang lelaki telah datang menemui Rasulullah s.a.w dan bertanya : "Wahai Rasulullah! Siapakah yang paling berhak untuk aku berbuat baik? Rasulullah menjawab : "Ibumu".  Dia bertanya (lagi): "Kemudian siapa?". Rasulullah s.a.w menjawab : "Ibumu".  Kemudian dia bertanya (lagi) : "Kemudian siapa?"  Rasulullah s.a.w menjawab : "Ibumu". Dia bertanya (lagi : "Kemudian siapa?" Rasulullah s.a.w menjawab : "Ayahmu".  [Riwayat al-Bukhari].


Mengapa Ibu Lebih Diutamakan?

Di antara ibu dan ayah, ibulah yang lebih berhak dan diberi keutamaan dalam berbakti.  Ibu memiliki hak tiga kali ganda lebih utama berbanding seorang bapa atau ayah sepertimana tersebut dalam hadis di atas. Sungguh tinggi dan mulianya kedudukan seseorang Ibu di sisi Allah s.w.t.  Ibu yang telah sanggup bersusah- payah mengandungkan kita antara 7 hingga 9 bulan atau lebih, menahan sakit perit sebelum, semasa dan selepas melahirkan, sabar dan tabah dalam menjaga, membentuk dan mendidik kita dari bayi yang tidak boleh berbuat apa-apa sehinggalah kita menjadi ‘insan’ yang sempurna dan berguna.  Qaseh Ibu tiada tolok bandingnya dalam mendidik dan membesarkan kita jika dibandingkan dengan ayah.

Begitu tinggi darjat dan pengorbanan insan bergelar Ibu berdasarkan firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya, ibunya telah mengandungkannya dengan keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya selama dua tahun, bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua orang tuamu, hanya kepada Akulah tempat kembali”    [Luqman, 31: 14]

Juga Firman Allah yang bermaksud:

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah.…  [al-Ahqaf 46:15]


Begitu juga terdapat kisah seorang sahabat,  

Mu’awiyah bin Jahimah yang datang kepada Nabi S.A.W. dan berkata: “Wahai Rasulullah, aku ingin pergi berperang, aku datang untuk meminta pandangan-mu. Nabi S.A.W. bertanya: Apakah kamu mempunyai ibu? Jawabnya: “Ya”. Sabda Nabi S.A.W.: Peliharalah (berbuat baiklah kepada) dia, sesungguhnya syurga berada di bawah dua kakinya. [Riwayat al-Nasai ]

Hadis di atas merupakan satu petunjuk kepada kita semua supaya senantiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk menabur bakti dan berbuat baik terutamanya kepada Ibu. Rasulullah menjamin syurga bagi anak yang berbuat baik kepada Ibu!.

Marilah kita semua berlumba-lumba berbakti kepada Ibu. Senantiasa merendahkan diri kepadanya, menyayangi dan mendoakannya moga Allah mengampuni Ibu kita serta mengangkat darjat Ibu kita ketahap yang tertinggi serta bersungguh-sungguh beribadah kepada Allah s.w.t. .

Qaseh Ibu dan Bapa

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kehadiran bulan Mei,  pastinya akan membuatkan kaum hawa yang bergelar Ibu akan terasa ‘kewujudan’ atau ‘kehadiran’ mereka di dunia ini dihargai. Biarpun dimulakan oleh masyarakat Barat, kita di Malaysia sudah semakin sedar dan mula menghargai jasa dan pengorbanan seorang insan bergelar Ibu.  Sambutan Hari Ibu semakin dianggap sebagai salah satu perayaan penting yang mesti diraikan.

Dalam artikel kali ini, saya tak bercadang menghuraikan asal usul atau sejarah sambutan Hari Ibu atau mengupas persoalan hukum sama ada boleh atau tidak menyambut Hari Ibu.  Apa yang ingin saya kongsikan adalah persoalan, Benarkah Barat atau orang bukan Islam senantiasa mendahului  atau menjadi perintis dalam memperjuangkan perihal kecintaan dan menghargai Ibubapa?

Apa pandangan Islam tentang berbakti kepada Ibu dan Bapa?
Sebenarnya, sejak lebih 1400 tahun dahulu, Islam telah pun memberikan panduan dan contoh teladan perihal menghormati dan berbakti kepada kedua ibubapa.  Islam telah menetapkan perkara yang paling utama yang perlu kita sebagai anak tunaikan setelah menunaikan hak Allah ialah memenuhi hak kepada kedua ibubapa kita.

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala yang bermaksud:

"Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan- Nya dengan sesuatupun.  Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibubapa...." [an-Nisa 4:36].

Begitu juga Allah Subhanahu wa Ta'ala telah berfirman dalam surah Luqman 31 ayat 14 yang bermaksud:

"Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibubapanya....)"

Berdasarkan dalil al-Quran di atas, Islam telah pun menggariskan peranan dan tanggungjawab kita sebagai anak agar senantiasa berbuat baik dan berbakti kepada ibubapa.


Apa seruan Rasulullah s.a.w kepada kita tentang mengasihi Ibubapa?

Banyak contoh dan anjuran yang telah ditunjukkan oleh junjungan besar kita, nabi Muhammad s.a.w. dalam hal menghormati dan berbakti kepada kedua ibubapa.

Antaranya, hadis daripada Ibnu Mas’ud,

Aku pernah bertanya kepada Rasulullah,"Amalan apakah yang paling dicintai Allah?" Beliau menjawab,"Mendirikan shalat pada waktunya." Aku bertanya,"Kemudian apa?" Jawab Beliau,"Berbakti kepada ke dua ibu bapa". Aku bertanya lagi,"Kemudian apa?" Baginda menjawab,"Jihad di jalan Allah." [HR Bukhari].


Begitu juga hadis dari ‘Abdullah bin ‘Amr r.a. dia berkata :

"Seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w: "Aku hendak berjihad". Nabi bertanya kepadanya : "Adakah kedua orang tuamu masih hidup?" Beliau menjawab : "Ya". Nabi s.a.w berkata : "Maka pada keduanya, hendaklah engkau berjihad (berbakti)." [HR. Al-Bukhari dan Muslim]

Berdasarkan hadis ini, jelas kepada kita, ajaran Islam telah terlebih dahulu meletakkan kedudukan Ibubapa di tempat yang sangat mulia dan tinggi. Kita telah diajar supaya lebih mengutamakan penjagaan dan berbakti kepada ibubapa kita, sebagai amal yang paling utama jika dibandingkan dengan keluar berjihad!.


Setelah kita melihat betapa Indahnya Islam dalam meletakkan keutamaan berbakti kepada Ibubapa, saya menyeru diri sendiri, ahli keluarga dan semua rakan agar kita kembali menilai betapa dekat atau jauhnya kita dengan ibubapa kita.

Adakah kita tergolong dalam kelompok anak-anak yang hanya menyambut Hari Ibu dengan hadiah dan ‘makan-makan’ serta ziarah Ibubapa di kampung setahun sekali atau merayakan Hari Ibu sepanjang tahun dengan menyumbangkan khidmat bakti dan mencurahkan kasih sayang tanpa sempadan sepanjang hayat kita. Fikir-fikirkan.