Padah Makan Daging Kambing Setiap Hari

Artikel daripada Berita Harian Online

MAKAN dianggap aktiviti wajib dan hobi kegemaran bekas pengurus bank ternama di ibu kota, Zainal Abidin Nordin. Menu kesukaannya adalah kari kambing atau daging bebiri tua dan raja buah, durian jenis Musang King. Rentetan tabiat suka makan itu, Zainal Abidin akhirnya disahkan menghidap salah satu cabang penyumbang masalah kardiovaskular iaitu darah tinggi atau dari sudut saintifik dikenali sebagai hipertensi pada usia 19 tahun.

Ketika ditemubual kolum Sihat di kediamannya baru-baru ini, Zainal Abidin berkata, usia muda banyak dihabiskan dengan 'mencintai' makanan dan mula menyedari menghidap hipertensi selepas kerap kali mengalami pening teruk pada awal pagi. Zainal Abidin berkata, perkara itu menyebabkan beliau terpaksa berjumpa doktor bagi mengenalpasti punca sakit yang dialami. Disifatkan sebagai terlebih berat ketika itu, beliau mula sedar perlu menjaga kaedah pemakanan serta rajin menjalani pemeriksaan kesihatan berkala bagi mengawal tekanan darah tinggi.

Mengulas lanjut mengenai menu kesukaannya, kegilaannya terhadap daging kambing mendorong Zainal Abidin makan daging itu setiap hari. "Sekurang-kurangnya, saya perlu ambil satu hidangan masakan berunsurkan kambing setiap hari. Jika tidak, saya akan rasa lemah dan tidak bersemangat menjalankan kerja harian. "Sudahnya, saya sudah boleh jangka jika alami pening dan mual, pasti tekanan darah tinggi memuncak. Justeru, saya atasi dengan amalkan minum segelas air limau suam dan berehat sekurang-kurangnya sejam selepas itu," kata bapa kepada empat anak ini.

Mengimbau saat getir menghidap sakit darah tinggi, Zainal Abidin berkata, selain pengambilan makanan tidak seimbang, tekanan kerja turut mempengaruhi kenaikan tekanan darah. Beliau berkata, bebanan kerja sebagai pengurus bank dan tumpuan bagi memastikan perjalanan karier lancar menyebabkan Zainal sering mengalami tekanan berkali ganda.  "Selalunya, waktu kerja padat antara jam lapan pagi hingga 9.30 malam menambahkan kesukaran mengurangkan tekanan.

"Bayangkan, rutin normal dilakukan setiap hari seperti solat dan makanpun di pejabat saja. Tiada masa senggang dan ia tidak lagi mengambil kita faktor terpaksa mengharungi kesesakan trafik dalam perjalanan pergi dan balik kerja," katanya. Difahamkan, tekanan darah lelaki berusia 61 tahun ini kembali normal selepas bersara. Aspek penjagaan pemakanan seperti mengurangkan masakan berlemak, bergaram, makanan bergula dan paling utama, makanan berminyak, membolehkan beliau mengatasi penyakit dialami.

Malah, Zainal Abidin sudah empat tahun tidak merasai keenakan roti canai selain mengamalkan senaman sekurang-kurangnya tiga kali seminggu dengan purata berjalan kaki sejauh tiga kilometer pada setiap sesi senaman. Waktu senggang diisi dengan bersosial bersama 'Kumpulan Jogging Titiwangsa' yang turut dianggotai lebih 30 anggota seusianya. Aktif dan gembira dengan aktiviti dirancang, Zainal Abidin mencadangkan supaya pesakit hipertensi sentiasa tenang, yakin dan menghayati kehidupan dengan ceria.

"Prinsip saya mudah. Kegembiraan dan kecenderungan minat akan membuatkan anda leka sekali gus tidak berfikir mengenai penyakit. Serangan psikologi melemahkan dan ia membuat anda rasa teruk mempunyai penyakit. “Jadi, hargai kecergasan dan keceriaan anda," katanya yang masih menjalani pemeriksaan doktor setiap bulan dan mengambil ubat bagi mengawal kestabilan tekanan darah. 

No comments: