Menguap Boleh Berjangkit?


Betulkah pendapat yang mengatakan bahawa menguap boleh berjangkit kepada orang sekeliling sekiranya ada orang yang menguap berhampiran kita?.

Betulkah, dengan hanya melihat gambar orang menguap pun, kita akan terikut menguap sama.?

Betulkah menguap itu boleh berjangkit bukan sahaja dikalangan manusia malah ianya boleh berjangkit kepada haiwan peliharaan.

Benarkah begitu?

Dalam artikel ini, saya sertakan juga gambar-gambar orang yang menguap. Cuba anda kira dan catatkan berapa kalikah anda telah menguap apabila membaca artikel ini dan kita menjadi bahan uji bagi mengesahkan pendapat berkenaan.





Apa pandangan Islam tentang menguap?

Kita biasanya akan kerap menguap bila terasa malas, ‘boring’, makan berlebihan atau kekenyangan, mengantuk atau hilang konsentrasi. Tanda-tanda ini sebenarnya lebih menjuruskan kita kepada sifat kemalasan dan kurang produktif. 


 Rasulullah s.a.w. pernah bersabda dalam hadisnya yang diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah menyukai amalan bersin dan membenci menguap. Kerananya, apabila salah seorang dari kalian bersin lalu dia memuji Allah, maka kewajiban atas setiap muslim yang mendengarnya untuk mentasymitnya. Adapun menguap, maka dia tidaklah datang kecuali dari setan. Oleh itu hendaklah dia menahan menguap semampunya. Jika dia sampai mengucapkan ‘haah’, maka syaitan akan mentertawakannya.” (HR Bukhari dan Muslim)

Kita sabagai hamba Allah, perlulah berusaha dan mendidik diri agar melakukan perkara-perkara yang akan menghampirkan diri dan jiwa kita kepada Allah. Setiap orang yang mengharapkan cinta Allah s.w.t. dan RasulNya. pasti akan berusaha bersungguh-sungguh mengikut apa yang Allah suruh dan meninggalkan apa sahaja perbuatan yang Allah larang.


Namun begitu, berdasarkan hadis diatas, bilamana kita menguap, ianya akan membuatkan Allah s.w.t. benci berbanding bila kita bersin. Sedarkah kita bilamana kita menguap sehingga mengeluarkan bunyi ‘haah’ , kita seolah-olah sedang mengikut langkah dan jejak syaitan dan sedang ‘menghiburkan’ syaitan, musuh ketat kita. Pastinya, tindakan kita ini akan menyebabkan ‘kebencian’ Allah s.w.t dan mengembirakan syaitan. Adakah kita suka menjadi sahabat syaitan dengan menghiburkannya?



Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman, yang bermaksud: 
“Sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh bagimu, maka anggaplah ia sebagai musuh, kerana sesungguhnya Syaitan-syaitan itu hanya mengajak kelompoknya supaya mereka menjadi penghuni Neraka yang menyala-nyala.” (Surah al-Fathir, 35: 6)

Rasulullah s.a.w. mendidik umatnya agar sentiasa kuat, cergas dan bertenaga. Senantiasa fokus pada setiap ibadah atau tugas yang dilakukan.

 Apa yang  boleh kita lakukan bila terasa mengantuk atau malas? 
Tidur?  Ya, tidur juga merupakan satu altenatif. Tetapi jika kita ada tugas dan tanggungjawab yang perlu diselesaikan, tidur bukan jalan penyelesaian yang bijak. Banyak petua dan amalan yang boleh kita amalkan bagi mengurangkan rasa mengantuk ini. Antara yang dicadangkan ialah:
i.   Mengubah tempat duduk
ii.  Berjalan keluar ke tempat lain seketika
iii. Menukar tahap pencahayaan
iv. Membasuh muka. Saya cadangkan agar kita mengambil dan memperbaharui wuduk kita.  Cubalah selalu memperbaharui wuduk insyaAllah kita akan rasa lebih segar dan bertenaga.
v.  Menggunakan pewangi atau haruman
vi. Mendengar alunan bacaan al-Quran
vii. Senaman ringan atau regangan


Bagaimana meraih pahala walupun ketika menguap?

Rasulullah s.a.w. telah mengajar kita, supaya apabila menguap ataupn terasa hendak menguap, maka kita hendaklah berusaha untuk menahan semampu mungkin dan jangan biarkan mulut terbuka. Namun sekiranya tidak mampu, maka perlulah kita menutup mulut ketika menguap. Kita juga hendaklah melatih diri agar tidak menguap dengan berlebih-lebih, membuka mulut selebar-lebarnya saat menguap sehingga mengeluarkan bunyi.

Nabi s.a.w. bersabda melalui hadis baginda yang diriwayatkan dari Abu Sa’id Al-Khudri r.a yang bermaksud:

“Apabila seseorang daripada kamu menguap, maka tutuplah mulut dengan tangannya kerana sesungguhnya syaitan masuk (ke dalam mulut yang terbuka). (HR. Muslim)

Yakinlah, bahawa kita akan peroleh pahala yang amat besar jika kita, anak-anak dan seluruh ahli keluarga dan masyarakat berusaha mengikut contoh adab dan akhlak Rasulullah s.a.w. walaupun dalam hal-hal kecil seperti ini.

Akhirnya, bila hendak menguap…ingatkan bahawa syaitan akan masuk dalam mulut yang terbuka dan akan tertawa jika kita menguap hingga mengeluarkan bunyi ‘haah’. Pesan berpesan.

p/s 1. Dah berapa kali saudara / saudari menguap bila baca artikel ini??

No comments: