Alkisahnya...Si Cantik Manis Kurma..

Bulan Ramadhan kian menghampiri. Pejam celik pejam celik, kurang 2 bulan sahaja lagi kita akan meraikan kedatangan bulan yang penuh barakah ini. Ketika inilah, kita akan mula dihidangkan dengan lambakan buah kurma atau tamar yang beraneka rupa dan warna di majoriti pasaraya, pasar malam, pasar tani dan segala macam pasar yang ada. Kurma merupakan menu wajib semasa berbuka puasa bertepatanlah dengan sabda junjungan Baginda Nabi Muhammad SAW Jika salah seorang di antara kamu hendak berbuka puasa, berbukalah dengan kurma sebab kurma itu barakah (berkat), kalau tidak ada maka dengan air kerana air itu bersih dan suci” (Riwayat Abu Daud dan At Tirmizi). Sabda Rasulullah SAW juga ”Sebaik-baik makanan sahur orang yang beriman ialah buah kurma (Riwayat Abu Daud)
                             .
Hakikatnya, apakah kurma hanya sesuai dihidangkan di meja berbuka sahaja? Apakah kurma hanya layak dijamah oleh orang-orang yang berpuasa sahaja? Apakah kurma buah rutin di bulan puasa semata-mata? Habis bulan Ramadhan, maka kita sudah pun mula melupakan keseronokan dan kelebihan memakan buah kurma. Hendak mencarinya pun susah. Terpaksalah mengharapkan buah tangan saudara mara dan sahabat handai yang pulang daripada menunaikan haji dan umrah.

Bukan Calang-calang Pengiktirafan!
Tahukah kita kurma memiliki kedudukan dan nilai yang sangat istimewa di dalam Islam sehinggakan banyak ayat  al Quran yang menyebut dan menceritakan tentang buah ini. Allah mengingatkan manusia bahawa pohon kurma yang tumbuh di muka bumi ini adalah antara tanda-tanda kekuasaan dan keagungan Allah. Antaranya dalam surah al-An'am ayat 99 Dan Dialah yang menurunkan air hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu segala macam tumbuh-tumbuhan. Maka Kami keluarkan dari tumbuh-tumbuhan itu tanaman yang menghijau. Kami keluarkan dari tanaman yang menghijau itu biji yang banyak; dan dari mayang kurma mengurai tangkai-tangkai yang menjulai, dan kebun-kebun anggur, dan (Kami keluarkan pula) zaitun dan delima yang serupa dan yang tidak serupa. Perhatikanlah buahnya di waktu pohonnya berbuah dan (perhatikan pulalah) kematangannya. Sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman.

Kurma samada buahnya atau pohonnya disebut berulang-ulang lebih daripada 20 kali di dalam al Quran. Mengapa Allah memilih untuk menyebut kurma secara khusus di dalam banyak kalamNya? Tidak dapat dinafikan pasti ada kelebihan dan kekuatan pada buah yang istimewa ini kepada manusia sehingga mendapat pengiktirafan yang sangat besar daripada Allah Rabbul Jalil.

Fakta kehebatan kurma juga ada diceritakan dalam surah Maryam ayat 23-26 tentang kisah perjuangan Saidatina Maryam ketika mahu melahirkan Nabi Isa ’Alaihissalam. ”(Ketika hendak bersalin) maka kesakitan itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal pohon tamar (kurma)............, lalu ia diseru dari sebelah bawahnya; ’Janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai. Dan gegarlah ke arahmu batang pohon kurma itu, supaya gugur kepadamu buah kurma yang masak. Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan”.

Sumber Tenaga
Kajian saintifik mendapati buah kurma memiliki khasiat dan nilai kesihatan yang sangat tinggi kepada tubuh badan manusia. Buah kurma kaya dengan glukosa dan fruktosa iaitu sejenis gula ringkas yang diserap terus ke dalam badan untuk menghasilkan tenaga. Inilah juga hikmah mengapa umat Islam digalakkan berbuka dengan buah kurma untuk mengembalikan tenaga selepas berpuasa.

Sumber Serat
Kurma juga mengandungi serat larut yang dipanggil beta-D glucan. Menurut ‘The Encyclopedia of Healing Foods’, serat jenis ini membantu mengurangkan penyerapan kolesterol dan membantu mengawal gula dalam darah. Selain daripada itu, kandungan kurma yang tinggi serat tidak larut juga boleh membantu memperelokkan sistem pencernaan dan seterusnya mengatasi masalah sembelit.
Sumber Vitamin dan Garam Mineral                                      Kurma juga tinggi kandungan vitamin seperti vitamin B kompleks dan merupakan sumber garam mineral yang sangat bagus seperti zat besi, potasium, kalsium, magnesium dan manganese. Menurut laporan Colarado State University, potasium memainkan peranan yang penting merendahkan tekanan darah tinggi di samping menyokong sistem saraf yang sihat dan fungsi otot yang baik.

Baik untuk Wanita Hamil dan Melahirkan Anak
Bagi wanita hamil dan yang melahirkan anak, kurma juga sangat baik untuk diamalkan kerana boleh membantu memperbanyakkan susu ibu, membekalkan tenaga dan membantu proses kelahiran.

Agen Mencerdaskan Minda
Kurma juga terkenal sebagai agen mencerdaskan minda. Maka adalah amat wajar buah kurma dijadikan snek harian terutamanya untuk anak-anak kita kerana manfaatnya yang sangat besar untuk tumbesaran mereka samada dari segi fizikal mahupun perkembangan otak.

Agen Penenang
Fakta yang menakjubkan juga mendapati kurma kaya dengan triptofan iaitu sejenis asid amino yang diperlukan untuk menghasilkan seretonin dalam tubuh. Seretonin berfungsi menstabilkan mood, memperbaiki kualiti tidur dan menenangkan perasaan. Pastinya kebahagian dalam hidup bukan hanya dengan fizikal yng sihat tetapi juga dengan emosi yang stabil dan terkawal.
Jadi, apa kata kita menjadikan buah kurma menu harian sekeluarga. Bukan hanya di bulan puasa tetapi sepanjang masa. Gantikan snek yang tidak berkhasiat yang menjadi kesukaan anak-anak kita dengan buah kurma yang memiliki manfaat yang tidak terhingga. Insya Allah buah istimewa yang mendapat pengiktirafan Allah dan Rasul SAW ini akan dapat membekalkan tenaga, nutrien dan zat penting yang diperlukan oleh tubuh badan dari segi jasmani, akal dan ruhani agar kita dapat melaksanakan amanah sebagai hamba Allah dan khalifahNya di muka bumi ini dengan lebih baik lagi. Wallahu A’lam.
QASEH GOLD dilengkapi dengan pes kurma
yang tinggi kualiti dan kuantiti untuk membantu
membekalkan tenaga dan meningkatkan kesihatan
fizikal, emosi dan minda, insya Allah

1 comment:

Luqman said...

Insya Allah, visi kita ialah untuk memartabatkan makanan sunnah sehingga menjadi amalan harian penduduk Malaysia! Satu rumah, satu Qaseh!