7 Strategi Orang Berjaya Dalam Diet!

Ok, secara ringkas 7 strategi orang yang berjaya dalam menurunkan berat badan mereka ialah seperti berikut :

1. Orang Berjaya Meletakkan Sasaran Kecil dan Beringkat

Mungkin objektif kita agak jelas, iaitu untuk menurunkan berat badan sehingga tahap yang ideal. Adakah ini bermakna kita hanya perlu terus meletakkan jumlah sasaran seperti 20kg, 30kg, dan berdiet habis-habisan sehingga kita tiba di garisan penamat? Nampaknya tidak. Mengetahui jumlah berat yang perlu anda turun ialah langkah pertama. Strategi mereka yang berjaya ialah untuk membahagi sasaran ini kepada beberapa bahagian yang boleh dijadikan ‘kemenangan’ kecil, seperti 4-5kg sebulan. Ini akan memberi anda momentum dan motivasi untuk mencapai tahap yang seterusnya! Begitu juga jika anda meletakkan sasaran berlari 5km atau 10km. Mulakan dengan 1km, 2km dan seterusnya untuk membina kekuatan dan daya serta kepuasan yang semakin meningkat!

2. Orang Berjaya Mengambil Masa untuk Berehat dan ‘Timeouts’

Disebabkan keghairahan untuk kelihatan lebih kurus atau keinginan memakai pakaian yang bersaiz lebih kecil, kebanyakan daripada kita akan melakukan amalan yang melampau semasa proses mengurangkan berat badan. Namun sebenarnya jika kita meletakkan peraturan-peraturan yang terlalu ketat pada peringkat permulaan, ini akan menyukarkan kita mengikuti diet dengan konsisten. Walhasil ramai yang kecundang dan berhenti berdiet sebelum sampai separuh atau satu pertiga jalan! Justeru, pastikan anda mengenalpasti waktu dan tempoh untuk ‘merehatkan’ diri daripada diet. Tapi ini pun jangan melampau juga! Bentuk-bentuk untuk merehatkan diri tidak semestinya terhad kepada pemakanan, tetapi boleh juga meliputi kaedah memanjakan diri anda dengan urutan di spa. Ini juga akan membantu anda kekal dalam diet dan menikmati kehilangan berat badan yang lebih kekal.

3. Orang Berjaya Berasa Bangga Dengan Pencapaian Mereka

Mungkin untuk budaya orang Melayu, agak sukar untuk mengaku berasa bangga kerana sifat ini dilihat sebagai bercanggah dengan norma dan adat resam kita. Namun, mungkin lebih tepat di sini ialah berasa puas dan bersyukur dengan pencapaian yang diperolehi. Berkongsilah dengan mereka yang anda tahu tidak akan menghukum atau berasa iri hati atau merendah-rendahkan anda, tetapi lakukanlah dengan berhemah,ya? Pamerkan kemampuan anda untuk menolak makanan-makanan ringan yang tidak memberi faedah. Bawa snek yang sihat ke majlis-majlis makan dan jika diajak makan, makanlah dengan berdisiplin dan katakan, “Sorry, tengah diet lah!”dengan senyuman yang manis jika diajak makan terlalu banyak.

4. Orang Berjaya Mencabar Diri Mereka Dengan Perkara Baru

Bermula secara kecil-kecilan agar dapat memberi momentum dan kejayaan-kejayaan kecil dalam berdiet sangat penting dalam usaha kita untuk berdiet. Walau bagaimanapun, kita masih perlu bersedia untuk menghadapi masa-masa di mana kita berasa ‘bosan’ dengan amalan berdiet kerana berhadapan atau melakukan perkara yang sama setiap hari atau setiap minggu.

Begitu juga dengan senaman-senaman yang kita lakukan. Maka, kita perlu sentiasa bersedia untuk mencabar diri kita dengan senaman-senaman baru atau cara baru untuk menyediakan makanan yang sihat untuk anda, atau berubah tempat senaman ke lokasi lain. Kita harus berhati-hati terhadap zon selesa yang mungkin membantutkan usaha kita untuk menjalani kehidupan yang lebih berkualiti dan sihat.

5. Orang Berjaya Mengukur Kejayaan Mereka

Bagaimana anda tahu tahap penurunan berat badan anda jika anda tidak mengukur penurunan itu? Justeru, adalah sangat penting untuk anda meletakkan beberapa tahap atau piawaian untuk menilai sama ada anda melakukan diet dengan betul atau tidak. Pastikan anda mencatat semua langkah betul yang anda lakukan, termasuklah kuantiti air yang anda minum setiap hari, berapa kalori yang anda makan seharian, berapa minit anda bersenam, tahap degupan jantung anda ketika bersenam, berapa gram serat yang anda ambil dan sebagainya. Jangan hanya bergantung kepada jarum pada skala timbangan anda, kerana ada masanya ia tidak akan bergerak langsung, sedangkan anda tetap memerlukan satu ukuran untuk memberi anda semangat untuk meneruskan usaha anda!

6. Orang Berjaya Melakukannya Secara Berpasukan

Pada hari ini kita hidup dalam zaman di mana kita sedar tidak ada kejayaan tanpa melibatkan orang lain. Dari segi diet, mungkin setiap individu mempunyai sasaran penurunan berat badan sendiri, tetapi sebenarnya ramai yang bersama-sama dalam usaha ini. Kalau kita bersungguh-sungguh ingin membantu mengatasi wabak obesiti yang melanda masyarakat, kita perlu melihat usaha mengawal berat badan ini sebagai satu aktiviti yang perlu dilakukan secara berpasukan. Kajian juga menunjukkan bahawa apabila kita berada di dalam sebuah pasukan yang saling mengambil berat antara satu sama lain, kemungkinan bahawa kita akan meneruskan usaha diet menjadi lebih tinggi. Lebih-lebih lagi jika kita mengisytiharkan secara terbuka berapa berat badan yang ingin kita capai!

7. Orang Berjaya Akan Memastikan Ia Menyeronokkan

Keseronokan sebenarnya merupakan antara pemangkin dan motivasi yang terbaik bagi kita. Jika kita terlalu bimbangkan ukuran pinggang kita, atau kita mencari alasan untuk tidak menghadiri kelas senaman, mungkin ini bermakna kita tidak memasukkan unsur-unsur keseronokan dalam aktiviti tersebut. Orang berjaya faham bahawa kadangkala, mengharapkan kekuatan minda atau ‘willpower’ sahaja tidak mencukupi, maka mereka memastikan aktiviti yang dijalankan menyeronokkan sehingga mereka tak sabar-sabar untuk melakukannya. Ini termasuklah melakukannya bersama keluarga, mencari resepi masakan sihat baru bersama rakan-rakan anda atau mencari tempat-tempat yang menarik untuk aktiviti senaman anda!

No comments: