Makan dan Minum sebagai ibadat?


Kasih dan cinta Allah s.w.t. kepada kita semua sebagai hambaNya dan umat nabi Muhammad s.a.w., diberikan begitu banyak kemudahan dan kelebihan untuk kita meraih pahala dan ganjaran Allah s.w.t.

Sedarkah kita, bahawa walaupun dengan hanya melakukan perkara-perkara rutin harian seperti makan dan minum, ianya sudah boleh dianggap kita sedang beribadat kepada Allah. Betulkah kenyataan ini?

Apakah yang membezakan antara makan sebagai adat atau kelaziman harian dengan makan sebagai beribadat kepada Allah?.


Sebenarnya terdapat beberapa perkara yang akan menjadikan amalan rutin harian seperti makan dan minum dianggap sebagai ibadat. Pertamanya, kita hendaklah membetulkan niat kita terlebih dahulu.

Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Segala amalan adalah berdasarkan niat. Setiap orang hanya mendapat apa yang diniatkan. Justeru, sesiapa yang penghijrahannya adalah menuju kepada Allah dan RasulNya, maka penghijrahannya adalah penghijrahan kepada Allah dan RasulNya. Sesiapa yang penghijrahannya kerana dunia yang bakal diperolehi atau kerana wanita yang bakal dikahwini maka penghijrahannya adalah penghijrahan menuju kepada apa yang diingininya”. (Hadis Sahih Bukhari dan Muslim)


Keduanya, hendaklah setiap aktiviti dan tingkah-laku kita, merujuk contoh yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. . Firman Allah s.w.t yang bermaksud,

"Adalah pada diri Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagi sesiapa yang berharap untuk bertemu dengan Allah dan Hari Akhirat, dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya".
(Surah Al Ahzab ayat : 21)



Begitu juga dalam Surah Ali ‘Imran ayat : 132, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

"Dan taatilah Allah dan Rasul agar kamu diberi rahmat."

Sebenarnya, ada banyak panduan yang telah diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. kepada kita dalam hal makan dan minum. Antaranya ialah

“Apabila seseorang dari kamu memakan makanan maka hendaklah dia berkata : Bismillah, dan jika dia lupa membaca pada awalnya, hendaklah dia berkata : Bismillah fi Auwalihi wa Aakhirihi”. (Hadith Riwayat Abu Daud, al-Tirmidzi).


Dalam riwayat yang lain, Rasulullah s.a.w mengajar Umar bin Abi Salamah yang masih kecil dengan nada manja untuk mendidik :

“Wahai budak lelaki, bacalah bismillah dan makanlah dengan tangan kananmu. (Hadis riwayat al-Bukhari)

Dalam sebuah hadis yang lain pula,

"seorang lelaki makan di hadapan Rasulullah s.a.w. dan dia terlupa untuk menyebut nama Allah s.w.t. di awalnya. Lalu apabila tiba suapan yang terakhir, barulah dia menyebut ‘Bismillah awwalahu wa aakhirahu.
Maka Rasulullah s.a.w ketawa lalu berkata: “Sejak tadi, syaitan makan bersamanya, lalu apabila dia menyebut nama Allah, maka syaitan itu memuntahkan apa yang ada di dalam perutnya”. (Riwayat Abu Daud dan al-Nasa’i)


Berdasarkan ketiga-tiga contoh saranan Rasulullah, jelas kepada kita bahawa, sebelum makan hendaklah kita membaca ‘Bismillah’ terlebih dahulu dan jika kita terlupa dan terus makan, ada juga bacaan yang Rasulullah ajarkan juga kepada kita setelah kita ingat.

Kita biasa mendengar dan melihat, ramai orang yang makan banyak tetapi masih rasa lapar dan tidak kenyang. Adakah kerana makanan tersebut dikongsi bersama syaitan?

Moga nota ringkas ini dapat dijadikan panduan dan pedoman kepada kita, anak-anak dan seluruh ahli keluarga kita. Yakinlah, dalam perkara-perkara sekecil makan dan minum pun kita masih boleh meraih pahala dan ganjaran ibadat yang dijanjikan oleh Allah kepada kita .

3 comments:

Luqman said...

Alhamdulillah, peringatan yang mudah tetapi bermanfaat...Thanks for sharing! Nanti cerita macamana tidur pun boleh jadi ibadat cikgu! :-)

cikgurosman said...

Ya. Insyaallah boleh dikongsikan dalam siri-siri akan datang. TQaseh.

Luqman said...

Saya tengok balik gambar ini, terkenang nostalgia pahit manis mengadakan konsert di Kajang, cikgu...haha...:-) Semoga Allah mengampunkan dosa kita dan memperbaiki kelemahan kita, amin.