Memang Berani Betul!

Tak dapat dinafikan, keberanian adalah salah satu ramuan penting dalam resipi kejayaan. Antara keberanian yang paling perlu ialah keberanian membuat keputusan. Sebenarnya ini antara batu penghalang utama yang membantutkan usaha ramai antara kita untuk mencapai kebaikan di dunia dan di akhirat. Kita lemah dan tidak berani membuat keputusan. Biasalah, kerana takut keputusan yang kita buat itu salah.

Biar saja orang lain buat keputusan untuk kita!

Jadi kita biarkan orang lain yang buat keputusan untuk kita. Kita fikir jika orang lain yang membuat keputusan, kalau gagal setidaknya kita boleh menyalahkan orang tersebut. "Dah boss saya suruh.", "Mak ayah saya yang suruh saya ambil kursus ini.", "Ustaz yang suruh saya buat macam tu." Biasa dengar alasan sedemikian? (Atau biasa beri?)

Dan adakah sebenarnya kita patut atau sanggup menyerahkan masa depan kita kepada orang lain untuk dibentuk sesuka hati mereka? Adakah itu strategi yang terbaik?

Berani bercita-cita tinggi?

Bercakap tentang keberanian membuat keputusan, kita perlu faham segala-galanya bermula dengan keberanian untuk bermimpi/bercita-cita tinggi. Sebagai orang Islam, kita perlu ingat bahawa cita-cita tertinggi kita ialah untuk menghuni syurga Allah SWT. Bukankah ini suatu impian yang sangat besar?

Habis tu, berani apa lagi?

Ini harus disusuli oleh keberanian untuk merancang dan berusaha. Mungkin terdetik di hati kita, apa yang nak ditakutkan dalam membuat perancangan? Apa yang takut sangat kepada berusaha?

Hakikatnya itulah keadaan sebahagian besar daripada kita; kita tidak berani merancang kerana kita tahu apabila kita merancang, kita perlu melaksanakan perancangan itu. Dan apabila kita melaksanakan maka mungkin kita akan gagal atau berjaya. Inilah realiti yang sangat ditakuti oleh kebanyakan orang, iaitu berhadapan dengan kemungkinan gagal. Menurut fikiran mereka, kalau tak berusaha, pertama sekali ini dapat mengelakkan diri daripada kegagalan....dan orang juga tak boleh kata kita telah gagal! Nanti kalau mencuba lalu gagal, sudahlah meletihkan diri sendiri, orang pulak kata kita orang yang gagal!

Inilah perkara yang membezakan antara mereka yang mempunyai mindset kejayaan dan mereka yang mempunyai mindset kegagalan. Orang yang berjaya tahu bahawa setiap kegagalan itu ialah satu penanda arah kepada jalan kejayaan. Dalam ertikata lain, tidak ada kejayaan tanpa kegagalan. Malah sejarah dipenuhi dengan contoh-contoh orang yang gagal berulang-ulang kali tetapi tidak pernah mengenal erti putus asa dan akhirnya mereka dikurniakan anugerah kemenangan yang hebat!

Keberanian junjungan baginda Rasulullah S.A.W menjadi saksi
Kita ingat perjuangan Rasulullah SAW yang dipenuhi dengan mihnah dan tribulasi. Semua ini dilalui oleh baginda dengan tabah kerana baginda faham bahawa kegagalan itu hanya berlaku apabila kita berputus asa, dan selagi mana kita hidup dan berusaha, bermakna kita belum gagal. Bayangkan baginda menghabiskan masa hampir 13 tahun untuk berdakwah di Mekah dan terpaksa mengakhiri bab dakwah itu dengan berhijrah ke Madinah, yakni seolah-olah tunduk kepada tekanan Musyrikin Mekah. Tetapi baginda tidak melihat ini sebagai sebuah kegagalan, malah suatu batu loncatan ke arah kejayaan lebih besar, dan akhirnya baginda pulang ke Mekah dalam keadaan mulia dan membawa hidayah Islam bersama.

Dalam bahasa kontemporari, kita boleh menerima kegagalan ketika mencuba, tetapi kita tidak boleh menerima kegagalan kerana tidak mencuba!

No comments: