Bila-bila Saja....!

Bila-bila saja kita nak, kita boleh mula mengubah diri kita.

Bila-bila saja kita nak, kita boleh mula ubah persepsi kita.

Bila-bila saja kita nak, kita boleh mula ubah disiplin harian kita.

Bila-bila saja kita nak, kita boleh mula membaca buku-buku yang dapat mengubah dan memperbaiki cara kita berfikir dan bertindak.

Bila-bila saja, kita boleh mula buat semua itu, malah lebih daripada itu....Hari ni? Esok? Lusa? Minggu depan? Bulan depan? Tahun depan? Ya, bila-bila saja kita nak...

Atau...

Kita boleh terus memilih untuk berpura-pura Ok dan berpuas hati dengan apa yang ada. Mungkin kita rasa cadangan untuk mengubah diri kita terlalu menyeksakan. Maka kita pilih kesenangan dan bukan kesusahan. Kita pilih untuk relaks berbanding belajar. Kita pilih hiburan berbanding cabaran. Kita pilih berehat berbanding berjuang. Kita pilih keselesaan berbanding kegetiran. Kita pilih duduk di depan TV berbanding menelaah buku-buku tentang kemahiran diri....Kita memilih untuk menyalahkan orang berbanding mengubah diri sendiri...

Dan akhirnya kita boleh pilih kepura-puraan berbanding hakikat dan kebenaran. Kita pura-pura tidak inginkan kemewahan dan kekayaan. Kita pura-pura tidak mahu kepada kenaikan pangkat yang dicapai oleh rakan sekerja kita yang bagi kita bukan hebat sangat pun. Kita pura-pura tidak inginkan kehidupan yang lebih selesa. Kita terus berpura-pura dan memberi seribu satu alasan dan sebab kenapa kita kononnya tidak mahu itu dan ini...

Lebih parah, kita sandarkan pula kepura-puraan ini kepada Islam. Kan Islam menuntut kita zuhud? Kan Islam suruh kita hidup  melarat? Kan Islam memuji mereka yang merendah diri? Betulkan ustaz?

Sebenarnya apa yang kita perlukan untuk mencapai kejayaan-kejayaan yang hebat hanyalah satu perkataan....iaitu HAKIKAT...Manusia perlu disedarkan tentang hakikkat yang ada pada diri mereka...


Hakikatnya ialah kita sering marah kepada ‘musabbab’, atau kesan, sedangkan kita sendiri yang memilih untuk menyuburkan 'sebab', atau puncanya. Kita marah kepada kemiskinan, sedangkan kita memilih untuk menyalahkan orang lain dan bukan memperbaiki kelemahan diri kita. Kita marah kepada kebodohan, sedangkan kita memilih untuk tidak mengembangkan minda kita melalui pembacaan dan pendidikan yang berterusan. Kita marah kepada kegagalan, sedangkan kita memilih untuk tidak melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran terkini yang diperlukan untuk berjaya...

Kita perlu melihat hakikat dalam kata-kata kita, tindak-tanduk kita, pilihan-pilihan kita. Sebenarnya mutiara-mutiara pedoman untuk berjaya sudah bersepah di luar sana dan hanya menunggu untuk kita kutip dan jadikan penyuluh jalan. Namun, hakikatnya ialah kita yang tidak mengendahkannya.

Kita perlu sedar segera bahawa tak kira sejauh mana kita sudah menyimpang, kita perlu kembali ke pangkal jalan. Mulakan lah semula dengan lebih baik dan lebih bijak. Jangan sekali-kali kita putus asa daripada Rahmat Allah yang sangat-sangat luas. Kembalilah kepada perkara-perkara asas, iaitu pilihan-pilihan yang kita buat setiap hari. Kita bukannya pokok yang terikat kepada sesuatu tempat! Keluarlah mencari jawapan. Keluarlah mencari ilmu. Keluarlah mencari pedoman. Keluarlah untuk menggenggam kejayaan yang merupakan hak anda.

Kerana hakikatnya manusia dicipta untuk berjaya.

No comments: