Ramai yang inginkan tubuh badan yang sihat, tetapi tidak
ramai yang berusaha untuk mendapatkannya. Ramai yang sekadar berharap agar
dikurniakan kesihatan yang baik tetapi gagal mengambil langkah yang sewajarnya. Kesihatan
sebagaimana kecantikan adalah anugerah Allah yang diberikan kepada setiap
insan. Kesihatan menjadi satu aset yang tidak ternilai dan tidak mungkin dapat
ditukarkan dengan wang ringgit.
Namun ramai di antara kita tidak menyedari
perkara ini sehinggalah nikmat kesihatan ini diuji oleh Allah. Kita renungi pesanan
Baginda Rasulullah SAW dalam sepotong hadis “Ambillah peluang lima perkara sebelum datangnya lima perkara: Usia muda
kamu sebelum tua, masa sihat sebelum
sakit, harta kekayaan kamu sebelum papa, masa hidup kamu sebelum mati, dan
masa lapang kamu sebelum sibuk.” Seorang ilmuan pernah menukilkan
bahawa seringkali kita mengorbankan kesihatan untuk mendapatkan kekayaan,
akhirnya kita terpaksa mengorbankan kekayaan tersebut untuk mendapatkan balik
kesihatan !
Antara perkara asas dalam penjagaan kesihatan ialah
memastikan tubuh badan kita mendapat bekalan air yang mencukupi. Secara umumnya
kita disyorkan meminum 8 gelas air sehari. Ada juga yang memberi saranan bagaimana
mengira keperluan air kepada tubuh badan kita iaitu berat badan kita (dalam kg)
dibahagi dengan 30. Contohnya, berat kita 60kg dibahagi 30, maka keperluan air
kita ialah 2 liter sehari. Jika badan kita cukup air, maka ini akan membantu
menyampaikan oksigen dan nutrien ke seluruh tubuh, membantu melawaskan sistem pembuangan dan perkumuhan,
mengawal suhu badan dan berbagai lagi. Dikatakan juga bahawa 70% daripada tubuh
badan kita adalah air, maka secara logiknya jika kita menjaga air yang kita
minum setiap hari dari segi kuantiti dan kualitinya, maka kita juga akan
menjaga 70% daripada tubuh badan kita, insya Allah.
Tubuh badan kita yang hidup ini perlu dibekalkan dengan zat
dan nutrien penting supaya sentiasa dapat berfungsi dengan baik. Selain
daripada pengambilan suplemen yang banyak dijual di pasaran, apa kata kita
kembali kepada sunnah Rasulullah SAW dengan menjadikan makanan kegemaran
Rasulullah SAW ini sebahagian daripada diet harian kita. Makanan-makanan sunnah
seperti madu, kurma, buah tiin, zaitun, delima dan air zam-zam bukanlah makanan bermusim, bukan juga makanan
kaum-kaum tertentu apatah lagi ianya bukan makanan yang ‘biasa-biasa’. Malah
kalau kita hayati perintah dan pengiktirafan yang Allah berikan dalam al Quran
serta yang dianjurkan oleh Nabi kita SAW, pastinya kita tidak akan menoleh ke
belakang lagi dengan menjadikan makanan sunnah ini menu wajib kita sekeluarga
setiap hari!
Allah telah memerintahkan Saidatina Maryam untuk memakan buah kurma saat beliau
sedang berjuang ketika mahu melahirkan Nabi Isa AS sebagaimana dikisahkan dalam
surah Maryam ayat 23-26 “...Dan gegarlah
ke arahmu batang pohon kurma itu, supaya gugur kepadamu buah kurma yang masak. Maka makanlah dan
minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merungsingkan”
Sabda Rasulullah SAW “Tetaplah
kamu dengan habbatus sauda’ kerana
padanya penawar segala jenis penyakit melainkan as Sam. Para sahabat bertanya Ya
Rasulullah, apakah itu as Sam? Jawab Rasulullah, As Sam itu adalah mati”
Pastinya jika kita mencari dan mendalami, terdapat banyak
lagi ayat-ayat al Quran dan hadis-hadis Nabi SAW yang mengiktiraf dan memberi
penegasan terhadap kelebihan dan kehebatan makanan-makanan sunnah ini.
Jelasnya makanan sunnah adalah makanan yang sangat baik
diamalkan untuk meningkatkan kesihatan tubuh badan. Persoalannya adakah kita
mampu beristiqamah dalam mengamalkan makanan sunnah setiap hari dengan
mengambil kira faktor seperti masa, kos
dan rasa yang seringkali menjadi kekangan kepada kita?
Selain daripada faktor pemakanan dan minuman harian, meningkatkan
hubungan dengan yang Maha Pencipta, Allah RabbulJalil, serta membina hubungan
yang baik sesama manusia, senaman dan riadhah, kawalan dan pengurusan diri
terhadap tekanan dan stress juga sangat perlu agar kita dapat menjalani kehidupan
yang berkualiti serta meningkatkan kesihatan bukan sahaja dari segi fizikal
tetapi turut merangkumi kesejahteran mental dan emosi, insya Allah. Wallahu a’lam.

3 comments:
umm..um...menggoda betul makanan. baiklah, mula diet hari ini (tak tahu berapa kali dah cakap benda sama T__T )
Makanan Sunnah sememangnya sesuai tidak kira musim...Org kita sahaja yang 'memusimkannya'...Tq for sharing dan mudahan mendapat pahala menganjurkan sesuatu yang baik.
i like your blog,i always online looking this kind of information. thanks for your sharing. hope you can share more information with us..
Express Bus From Singapore To Kuala Lumpur KL
Post a Comment