“Bapa, mengapa mesti makan dengan tangan kanan? Boleh tak kalau adik makan dengan
tangan kanan dan minum guna tangan kiri?“ tanya anak kecil saya sewaktu saya
mengajar beliau untuk makan dan minum dengan tangan kanan. Beliau
adalah seorang anak yang kidal, yang sejak lahir lagi sering menggunakan tangan
kiri untuk membuat segala sesuatu. Ambil
makanan, pegang dan peluk anak patung, main masak-masak, menulis dan mewarna
serta makan dan minum. Hampir semua aktivitinya, berpusatkan tangan kiri. Agak sukar untuk saya melatihnya untuk
membiasakan diri menggunakan tangan kanan.
Betapa susahnya, bila kita makan dengan tangan kanan, minum pula perlu guna tangan kanan,
tentulah gelas atau bekas air kita akan kotor.
Ditambah pula jika kita makan dengan menggunakan sudu dan garfu, atau
garfu dan pisau sewaktu makan ‘chiken chop’, tentunya lebih sukar.
Persoalannya, Mengapa kita mesti mengutamakan tangan kanan,
khususnya sewaktu makan dan minum? Saya yakin, persoalan ini juga sering
bermain di fikiran kita semua.
Pertamanya, kita semua mestilah bersetuju dan yakin bahawa
Nabi kita Muhammad s.a.w. merupakan seorang insan yang diutuskan bagi memberi petunjuk dan menjadi contoh teladan
yang terbaik di kalangan manusia di muka bumi ini.
Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Ahzab: Ayat 21 yang bermaksud :
"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Ahzab: Ayat 21 yang bermaksud :
Maka sudah pastinya, Rasulullah s.a.w. itu merupakan contoh terbaik yang perlu kita ikuti dalam semua situasi dan keadaan, baik dalam akhlaknya, perbuatan, pertuturan maupun suruhan dan larangannya. Kita diajar supaya senantiasa cuba untuk mencontohi Rasulullah s.a.w. dalam setiap aspek kehidupan kita. Rasulullah senantiasa menjadi panduan hidup kita. Itulah yang dikatakan mengikut sunnah nabi.
Rasulullah s.a.w. senantiasa ada dalam memberikan panduan dan
contoh akhlak terpuji dalam seluruh kehidupan. Terdapat beberapa hadis yang memberi panduan dan
nasihat dalam adab makan dan minum.
Daripada Ibnu Umar r.a., Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, ” Apabila kamu ingin makan, maka makanlah dengan tangan kanan dan apabila kamu ingin minum, maka minumlah dengan tangan kanan. Sesungguhnya, syaitan makan dan minum dengan tangan kirinya. (Hadis Sahih Riwayat Muslim No. 2020).
Begitu juga dalam hadis yang lain,
Daripada Jabir B. Abdullah r.a., Nabi s.a.w. bersabda, “Jangan
kamu makan dengan tangan kiri, kerana sesungguhnya syaitan makan dengan tangan
kiri’. (Hadis Sahih Riwayat Muslim No.2019).
Berdasarkan kedua-dua hadis ini, jelaslah kepada kita Rasulullah s.a.w. telah memberi panduan dalam adab dan tatacara makan dan minum dengan
menggunakan tangan kanan.
Rasulullah s.a.w. juga telah memberikan gambaran tentang cara makan dan minum syaitan adalah dengan menggunakan tangan kiri. Kita juga tahu dan sedar bahawa syaitan merupakan musuh kita. Syaitan senantiasa akan berusaha mengajak dan menghasut kita berbuat perkara-perkara yang dibenci dan dilarang Allah dan Rasulnya. Oleh itu, marilah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk tidak mengikut jejak langkah dan membenci perbuatan syaitan dalam seluruh aspek kehidupn kita khususnya dalam adab makan dan minum.
Rasulullah s.a.w. juga telah memberikan gambaran tentang cara makan dan minum syaitan adalah dengan menggunakan tangan kiri. Kita juga tahu dan sedar bahawa syaitan merupakan musuh kita. Syaitan senantiasa akan berusaha mengajak dan menghasut kita berbuat perkara-perkara yang dibenci dan dilarang Allah dan Rasulnya. Oleh itu, marilah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk tidak mengikut jejak langkah dan membenci perbuatan syaitan dalam seluruh aspek kehidupn kita khususnya dalam adab makan dan minum.
Berikut adalah antara cara-cara yang boleh dilakukan dalam
mendidik diri kita dan anak-anak supaya makan dan minum dengan tangan kanan.
i. kita sendiri
hendaklah menjadi contoh kepada anak-anak dalam adab makan dan minum dengan
tangan kanan.
ii. Senantiasa memuji dan memberi penghargaan kepada anak-anak
yang telah mencontohi akhlak Rasulullah dalam cara makan dan minum.
iii. Mengabaikan gelas atau cawan yang kotor sebab ada bekas
makanan, kerana ianya boleh dicuci dengan mudah berbanding mudarat yang lebih
besar jika kita mengikut contoh teladan syaitan!.
iv. Ganjaran Allah pasti ada untuk kita sekiranya setiap
perbuatan kita itu mengikut contoh atau sunnah Rasulullah s.a.w.
v. Mendidik anak-anak
dengan meletakkan gelas minuman sebelah kanan anak-akan dan ianya akan
memudahkan mereka mencapai gelas berkenaan dengan tangan kanan.
vi. Sekiranya makan menggunakan garfu dan pisau, sentiasa
berusaha memegang pisau dengan tangan kiri dan garfu dengan tangan kanan. Memang sukar nak dilakukan, tetapi sekiranya
kita berusaha dan melazimkan berbuat demikian demi mencontohi Rasulullah s.a.w,
pastinya cara makan ini akan dapat kita amalkan.
Kata peribahasa, ‘Alah bisa, tegal biasa’. Jika sesuatu perkara yang kita rasa sukar dan
payah untuk dilakukan tetapi apabila sudah terlalu kerap melakukannya, maka
kita akan biasa dan mahir dengan keadaan tersebut.
Sebenarnya amat mudah untuk mendidik diri mengikut
Rasulullah, ianya bergantung kepada niat dan kesungguhan kita mengamalkannya. Pujuklah hati dan perasaan, tanamkan azam dan kesungguhan hendak mencontohi
sunnah Rasulullah s.a.w., tentu Allah akan memudahkannya. Pastikan diri kita,
anak-anak dan seluruh ahli keluarga kita sama-sama berusaha mencontohi sunnah
Rasulullah s.a.w. Biarpun nampak kecil usaha kita ini, tetapi ganjarannya amat
besar di sisi Allah.
No comments:
Post a Comment