Bersin... Sebarkan Penyakit atau Qaseh


Awas, jika anda berada di tempat yang ada orang yang bersin. Kajian sains telah membuktikan bahawa bila mana seseorang itu bersin, ianya sudah mampu untuk menyebarkan virus terutamanya virus selsema atau demam selsema kepada orang yang berada dipersekitarannya.

Namun begitu, tidak semua orang yang bersin itu mengidap ‘flu’ atau demam selsema. Ramai di antara kita yang berpotensi untuk bersin jika berlaku perubahan cuaca yang ketara dan tiba-tiba. Contohnya dari tempat panas, tiba-tiba bertukar ke sejuk atau sebaliknya. Ramai juga yang akan terasa gatal hidung atau alegik bilamana berada di tempat-tempat seperti tempat yang ada bulu-bulu kucing atau bulu burung yang berterbangan.

Ada juga yang akan terkesan atau terasa hendak bersin bila berada di taman bunga di musim debunganya berterbangan di udara dan kadang-kadang juga selepas padang rumput dipotong. Begitu juga ada orang yang akan bersin bila berada di kawasan yang berhabuk . Hinggakan ada orang yang alegik kepada habuk atau debu-debu halus pada permaidani. Ini semua adalah gajala-gajala yang boleh menyebabkan seseorang itu bersin.

Ada orang yang bersin disebabkan virus penyakit dan ada juga yang bersin disebabkan gangguan bendasing yang berada dipersekitarannya.

Kita biasa terikut-ikut dengan cara orang Barat terutamanya, bila melihat melalui media TV yang akan mengatakan ‘Bless you’ atau ‘God Bless You’ bila bersin. Malangnya sebutan spontan tersebut, kini semakin diterima dan diikuti dalam masyarakat Islam kita.

Sedarkah kita bahawa Islam telah lama menunjukkan tatacara untuk bertindakbalas bilamana kita atau orang lain bersin.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda dalam hadisnya yang diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah menyukai amalan bersin dan membenci menguap. Kerananya, apabila salah seorang dari kalian bersin lalu dia memuji Allah, maka kewajiban atas setiap muslim yang mendengarnya untuk mentasymitnya. Adapun menguap, maka dia tidaklah datang kecuali dari setan. Oleh itu hendaklah dia menahan menguap semampunya. Jika dia sampai mengucapkan ‘haah’, maka syaitan akan mentertawakannya.” (HR. al-Bukhari no. 6223 dan Muslim no. 2994)

Bersin juga merupakan nikmat yang perlu kita syukuri. 

Bila seseorang itu bersin, pastinya ia akan berasa lebih segar dan bertenaga. Organ badan kita akan bertindakbalas secara semulajadi dengan cuba menyingkirkan benda asing yang masuk ke dalam tubuh sama ada melalui hidung atau mulut. Pastinya ini merupakan nikmat yang Allah berikan kepada badan kita.

Islam juga mengajar kita agar berkasih sayang dan hormat-menghormati sesama insan. Rasulullah s.a.w. telah bersabda dalam sebuah hadis dari Abu Hurairah r.a yang bermaksud:

“Hak seorang muslim atas muslim lainnya ada lima: Menjawab salam, menjenguk yang sakit, mengantar jenazah, memenuhi undangan, dan mendoakan yang bersin.” (HR. Al-Bukhari no. 1240 dan Muslim no. 2162)

Berdasarkan hadis di atas, Islam telah mengariskah hak dan tanggungjawab seseorang muslim ke atas muslim yang lain. Salah satu tuntutan yang ditekankan adalah untuk mendoakan orang yang bersin.


Bagaimana Mendoakan Orang Yang Bersin?

Rasulullah s.a.w. telah mengajar kita agar senantiasa bersyukur dan memuji Allah dan mendoakan orang yang bersin. Berdasarkan hadis baginda dari Abu Hurairah radhiAllahu`anhu yang maksudnya:

Apabila salah seorang daripada kamu sekalian bersin, maka hendaklah dia mengucapkan: ”Alhamdulillah” (Segala pujian untuk ALLAH). Dan bagi saudara atau kawannya hendaklah mengucapkan: ”yarhamukallah” (semoga ALLAH merahmati kamu). Apabila ada orang mengucapkan yarhamukallah, maka orang yang bersin itu hendaklah mengucapkan: ”yahdikumullahu wa yuslihu baalakum” (semoga ALLAH memberi petunjuk dan memperbaiki hatimu).” (HR. Al-Bukhari no. 6224 dan Muslim no. 5033


Bagaimana pula jika seseorang yang bersin itu tidak memuji Allah?

Berdasarkan maksud hadis Rasulullah s.a.w. dari Abu Musa radhiAllahu `anhu,:
“Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: ”Apabila salah seorang di antara kamu sekalian bersin dan memuji ALLAH (mengucapkan “alhamdulillah”), maka doakanlah dia (dengan mengucapkan “yarhamukallah”). Dan apabila dia tidak memuji ALLAH, maka janganlah kamu mendoakannya.(HR Muslim)

Berdasarkan hadis ini, jelas kepada kita bahawa bilamana seseorang yang bersin itu memuji Allah dengan ucapan ‘Alhamdulillah’, maka kita dituntut untuk mendoakan beliau manakala jika beliau tidak mengucapkan ucapan memuji Allah, maka kita tidak perlu untuk mendoakannya.

Sebuah kisah dari Hadis baginda Nabi Muhammad s.a.w., dari Anas radhiAllahu `anhu berkata:

“Ada dua orang bersin di hadapan Nabi sallAllahu `alaihi wasallam. Kemudian Baginda mendoakan kepada salah seorang di antara keduanya itu dan tidak mendoakan yang satu lagi. Maka orang yang tidak didoakan itu berkata: ”Si Fulan bersin kemudian Tuan mendoakannya. Dan saya bersin tetapi kenapa Tuan tidak mendoakan untuk saya?” Baginda bersabda: ”Si Fulan ini memuji ALLAH (mengucapkan “alhamdulillah”), sedangkan kamu tidak memuji ALLAH.”(HR al-Bukhari dan Muslim)


Bagaimana Mengelak Merebaknya Virus Ketika Bersin

Begitu indah dan istimewanya Islam berbanding agama-agama lain, sehinggakan perkara sekecil-kecil bersin pun ditunjuk melalui teladan baginda Nabi Muhammad s.a.w.. Rasulullah s.a.w. akan menutup mulut dengan tangan atau kain dan memperlahankan suara baginda ketika bersin.

Abu Hurairah r.a. telah menerangkan tentang adab baginda nabi s.a.w. ketika bersin:
“Apabila Rasulullah s.a.w. bersin, baginda meletakkan tangannya atau bajunya ke atas mukanya sambil merendahkan suaranya.” (Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 5029)

Dengan menutup mulut dengan tangan atau kain, InsyaAllah kita akan dapat mengawal keluarnya kotoran atau benda asing disamping mengurangkan penyebaran virus selsema di udara. Kita juga dituntut agar merendahkan suara agar tidak mengganggu orang yang ada di sekeliling kita. Dikhuatiri mungkin meraka akan merasa terganggu dan tidak selesa bila berada di samping kita yang asyik bersin.


Perlukan Mendoakan Orang Yang Bersin Berulang-ulang kali?

Kita tidak dituntut untuk mendoakan orang yang bersin berulang-ulang kali, melebihi 3 kali kerana mungkin orang yang berkenaan menderita sakit atau demam selsema.

Dari Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu dia berkata,
“Doakan saudaramu yang bersin sebanyak tiga kali. Kalau lebih dari tiga maka dia sedang flu”. (HR. Abu Daud).

Semoga catatan ini dapat memberi pengajaran bagaimana kita berinteraksi sesama kita dalam usaha melahirkan perasaan berkasih sayang dan cintakan saudara kita. Wallahu a'lam...

No comments: