Siapa Kata Orang Melayu Tidak Bijak?


Siapa kata orang Melayu Muslim tidak bijak?

Kalau melihat alasan-alasan yang diberikan untuk kesilapan dan kesalahan yang berlaku saban hari, rasanya umat Melayu Muslim lah yang paling kreatif dalam bidang ini!

Masalah dengan alasan ialah : ia melemahkan kita. Alasan membolehkan kita mempertahankan ego kita dengan berselindung di sebalik sebuah 'cerita' yang kita reka. 
Ataupun, mungkin sesuatu yang benar-benar berlaku tetapi kita pandai mengalihkan perhatian daripada kesalahan kita kepada suatu unsur yang sebenarnya tiada kena mengena dengan punca kesalahan itu.

Kelemahan kita atau kesalahan orang lain?

Ataupun kita membesarkan perkara lain yang sebenarnya adalah rentetan, ataupun natijah daripada kesilapan kita sendiri. Contohnya, kita sering mendengar (atau memberi!) alasan terlambat datang kerja disebabkan kesesakan, atau pun mungkin kerana ditahan polis trafik disebabkan memandu melebih had laju...

Sesekali dengar, macam boleh pakai...tapi dua tiga kali lepas itu, mula lah pelik bunyinya pada telinga lagi menghairankan minda... Ada saja perkara yang berlaku yang menyebabkannya tidak sempat sampai 'on time'...Walaupun ceritanya bagus, namun naluri manusia agak sensitif kepada kepalsuan dan tipu daya....Lagi beriya-iya orang ingin meyakinkan kita, lebih berwaspada kita terhadap ceritanya...

Dalam kes si rakan yang datang lambat tadi...Rasanya cara paling mudah ialah untuk mengelakkan masalah lewat ialah dengan memastikan kita keluar awal, lebih-lebih lagi kalau kita sudah tahu akan berlaku kesesakan di jalan raya. Di Kuala Lumpur ni, siapa yang tak tahu bahawa kesesakan jalan agak teruk di tempat-tempat tertentu, pada masa-masa tertentu.
Juga, dengan cara ini tak payah lah kita memecut sehingga ditahan polis trafik...Memanglah diberhentikan polis trafik itu pasti melambatkan kita, namun itu lebih rentetan daripada kesalahan awal kita iaitu keluar lewat atau bersikap 'kiasu' (tidak mahu mengalah) semasa memandu...Bukan salah si polis yang menjalankan tugas...

Tetapi mereka yang ber'skill' tinggi dalam ilmu putar alam bijak merumuskan suasana sehingga kita terpengaruh dengan penjelasannya itu...

Pandai Putar Alam Tapi Akhirnya Kita Rugi...

Namun seperti yang saya jelaskan pada awal blog ini, alasan melemahkan kita. Bila kita selesa dengan kemampuan kita memberi alasan, bermakna ia sudah mula mencengkam di hati. Semangat kita mula lemah kerana jauh di sudut hati, kita tergoda dengan kebolehan melepaskan diri daripada tugas dan tanggungjawab kita.

Maka bagi kita yang lazimnya melakukan sesuatu seperti belajar, bekerja atau bertugas bukan dengan kehendak sendiri tetapi disebabkan arahan atau permintaan seseorang seperti ibubapa kita, majikan dan rakan-rakan, maka alasan menjadi satu 'jalan keluar' yang mudah...Sehingga satu hari kita bangun dan mendapati memberi alasan itu sudah menjadi satu tabiat yang sangat sukar dikikis...Ibarat titik dosa dalam hati seperti yang diingatkan oleh Rasulullah SAW, lama kelamaan ia akan menutup hati kita daripada cahaya hidayah...
Ingatlah, sebelum orang lain 'membeli' cerita kita, kita terlebih dahulu yang 'membeli' pembohongan itu. Maka hasilnya tidak lain dan tidak bukan, kita yang menipu diri kita sendiri...wal'iyazubillah...

Maka Siapa Yang Kita Suka Berurusan Dengannya...?

Dan sememangnya kita akur sama ada secara terbuka atau rahsia, bahawa apabila kita melihat seseorang yang berjaya kita tahu beliau bukanlah seorang yang berselindung di sebalik alasan. Dan kita dapat merasakan satu 'aura' kehebatan setiap kali berurusan dengan orang berjaya itu. Aura itu ialah aura keyakinan diri yang timbul daripada keberaniannya bertanggungjawab atas kehidupannya dan kesilapan sendiri, serta belajar daripadanya. Orang seperti ini sentiasa kelihatan 'kuat' dan 'boleh diharap' di mata kita dan sentiasa mendapat kepercayaan di hati kita...Kalau ada kerja penting yang perlu diselesaikan, tiada orang lain yang terlintas di minda kita...

Nah bukankah sudah sampai masanya kita yang menjadi orang tersebut...?

No comments: